193 penunggang motosikal dikenakan saman - Utusan Malaysia

193 penunggang motosikal dikenakan saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengeluarkan sebanyak 193 saman terhadap penunggang motosikal yang didapati tidak mengikuti lorong khas motosikal di Lebuhraya Persekutuan bagi tempoh bermula 8 Mei hingga hari ini.

Pengeluaran saman itu dilakukan susulan masih ramai penunggang motosikal yang ingkar dan menggunakan laluan utama.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Lebuhraya Persekutuan terletak dalam pentadbiran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sepanjang 11 kilometer bermula Kilometer (KM) 16 hingga KM 34.

“Lorong motosikal ada disediakan di kiri dan kanan lebuhraya berkenaan yang menghala ke Kuala Lumpur dan Klang.

“Tindakan terbabit sekali gus mengundang bahaya kepada penunggang motosikal itu sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, pihaknya mendapati terdapat segelintir penunggang motosikal yang menggunakan laluan masuk serta keluar tol di lebuhraya itu sebagai jalan pintas.

“Kegagalan mematuhi penggunaan lorong motosikal yang disediakan boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, terdapat empat kes kemalangan direkodkan di lokasi SJR Op Covid-19 di lebuh raya berkenaan pada tempoh sama yang berpunca daripada kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, cuai serta tidak memberi tumpuan kepada kenderaan di hadapan.

“Malah, kemalangan berkenaan juga mengakibatkan beberapa kerosakan terhadap peralatan SJR di lokasi terbabit,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua penunggang motosikal supaya sentiasa menggunakan lorong khas yang disediakan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap semua pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya