UiTM tidak boleh lagi berdiam diri - Utusan Malaysia

UiTM tidak boleh lagi berdiam diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih UiTM, Reduan Abdullah menyifatkan kelemahan individu antara punca yang memberi kesan kepada prestasi pasukan dan perlu diperbaiki segera untuk mendapat keputusan lebih baik bertemu Sabah esok.

Selepas melakukan persiapan kedua bersama pasukan sejurus berakhir aksi menentang Melaka United, Sabtu lalu, banyak perubahan yang dibuat khususnya dalam aspek taktikal dan corak permainan.

Beliau bagaimanapun memuji kesungguhan pemain yang bersungguh-sungguh untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu yang diterapkan dalam usaha memperbaiki kelemahan masing-masing meskipun moral mereka ketika ini terkesan dengan mengalami tujuh kekalahan.

Menidakkan tugas baharunya ini sebagai satu tekanan, Reduan menganggap ia satu tanggungjawab mencabar yang perlu dipikul selepas menggantikan Frank Bernhard selaku pengendali dan percaya keputusan positif akan dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Saya tidak rasa ia tekanan, tetapi hanya tugas mencabar yang perlu saya lakukan demi pasukan dan saya akan pikul dengan baik demi mereka.

“Banyak perkara yang sudah kita lihat, dan daripada aspek serangan dan kelemahan dalam diri individu pemain itu menjejaskan sedikit sebanyak prestasi pasukan dan secara taktikalnya, mereka faham dengan pendekatan baharu yang kita buat sekarang ini.

“Untuk masa terdekat ini, kita memang perlu ada strategi terbaik untuk mengatasi pasukan lawan dan sudah tentu tiga mata akan menjadi buruan kita menentang Sabah, Sabtu ini,” jelasnya.

Pertahanan UiTM FC, Faizal Mohd Arif pula senada dengan penilaian jurulatihnya yang menyifatkan aspek serangan masih lagi belum berada di tahap optimum dan mereka hanya lebih banyak bertahan bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

“Saya setuju dengan apa yang diperkatakan jurulatih apabila kita masih lagi tumpul di bahagian serangan dan saya sebagai pemain pertahanan, saya boleh katakan kami tidak mampu untuk bertahan sahaja selama 90 minit.

“Jadi, kita perlukan seseorang yang mampu menjaringkan gol dan saya percaya perkara itu sudah dinilai sepenuhnya oleh jurulatih untuk barisan pemain melakukan perubahan lebih baik dalam aksi akan datang bertemu Sabah,” katanya.

UiTM FC kini berada di tangga tercorot liga selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan setakat ini.

Untuk aksi kesembilan minggu ini, dua perlawanan akan berlangsung pada Jumaat membabitkan Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Terengganu FC akan menentang Kuala Lumpur City FC.

Selain perlawanan antara Sabah dan UiTM pada Sabtu, satu lagi aksi menyaksikan Perak akan berdepan Kedah di Stadium Perak.

Baki dua lagi aksi akan berlangsung pada Ahad di mana Selangor akan bertandang ke Stadium Hang Jebat menentang Melaka United dan Petaling Jaya City berdepan Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya