Penduduk tujuh kampung di Kupang derita guna air berlumpur 

Penduduk tujuh kampung di Kupang derita guna air berlumpur 

KEADAAN air di Sungai Kupang yang keruh dipercayai percayai berpunca daripada projek tanaman musang king di Gunung Inas, Kupang, Baling. - IHSAN  CAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 2,000 penduduk di tujuh kampung di Kupang, Baling didakwa gelisah dan bimbang apabila sumber bekalan air dari takungan air bukit untuk kegunaan mereka dicemari sisa lumpur berpunca daripada projek tanaman durian musang king di Gunung Inas, Kupang sejak dua tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader mendakwa, projek tersebut juga mengakibatkan air Sungai Kupang turut tercemar dan mengancam tanah sawah di kampung-kampung terlibat. 

Katanya, kampung-kampung yang tersebut ialah Kampung Bok Bak, Iboi, Bukit Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Bendang Pecah dan Bendang Padang.

“Dalam tinjauan oleh CAP mendapati air sungai tersebut yang menjadi sumber utama bekalan air dari takungan air bukit kegunaan penduduk di sini keruh dan terdapat sisa lumpur serta pasir mendap di dasarnya menyebabkan ia semakin cetek.

“Penduduk-penduduk yang terlibat memberitahu CAP, ketika hujan keadaan bekalan air di rumah mereka begitu teruk tercemar dengan sisa lumpur dan terpaksa ditakung terlebih dahulu sebelum digunakan. Manakala untuk minuman ada kalangan penduduk di sini membeli air mineral,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut menyalurkan bekalan air paip kepada penduduk di sini tetapi bekalan tersebut kerap terputus dan tidak mencukupi untuk kegunaan harian mereka.

“Selain pencemaran bekalan air penduduk, ramai pesawah di kawasan ini tidak dapat mengusahakan tanah sawah mereka kerana diancam sisa lumpur dan pasir dari kawasan projek itu. Tanah sawah di sini menjadi keras, tidak subur dan terbiar.

“Berhubung masalah ini, CAP menggesa kerajaan Kedah, SADA, Pejabat Daerah Baling, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian mengambil tindakan segera bagi mengatasinya,” katanya.

Mohideen berkata, pada Julai tahun lepas, Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Md. Nor mengarahkan supaya projek durian musang king di Gunung Inas dihentikan namun hingga sekarang masalah yang berpunca daripada projek berkenaan masih berterusan.

“CAP amat bersimpati dengan penduduk-penduduk di sini dan merasa bimbang jika keadaan itu dibiarkan kesihatan dan sumber pendapatan mereka akan teruk terjejas pada masa akan datang.

“CAP berpendapat tanah sawah yang terjejas wajar dipulihkan secepat mungkin dan pampasan yang setimpal perlu dibayar kepada pesawah-pesawah yang terlibat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya