Negeri Sembilan sasar 50 peratus pengurangan gelandangan

Negeri Sembilan sasar 50 peratus pengurangan gelandangan

NICOLE Tan Lee Koon (tengah) bersama Rosnah Sardi (kiri) melawat salah satu bilik di Rumah Transit Rumah Minda Ceria sempena majlis pelancaran rumah transit untuk gelandangan tersebut di Taman Cheong Loong, Seremban, hari ini. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mensasarkan sebanyak 50 peratus pengurangan jumlah gelandangan di negeri ini menjelang tahun 2023 daripada jumlah seramai 40 gelandangan yang dianggarkan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, sasaran itu dibantu dengan penubuhan Rumah Transit Rumah Minda Ceria (RMC) iaitu sebuah tempat perlindungan gelandangan di bandar ini.

“Kami mensasarkan 50 peratus pengurangan gelandangan di negeri dalam tempoh dua tahun lagi. Ini selaras penubuhan rumah transit yang memberi perlindungan kepada gelandangan termasuk yang tidak mempunyai tempat tinggal, tidak mempunyai pekerjaan dan merayau dari satu lokasi ke lokasi lain. 

“Kami menjangkakan mustahil untuk mendapat sifar gelandangan kerana kehadiran pandemik Covid-19 dilihat memberi tekanan seperti dibuang kerja atau dibuang keluarga sehingga mereka yang terjejas boleh menjadi gelandangan. Oleh itu, penubuhan rumah ini dilihat dapat memberi perlindungan dan pemulihan sehingga mereka benar-benar boleh berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rumah Transit Rumah Minda Ceria (RMC) di Taman Cheong Loong di Seremban hari ini. 

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi. 

Jelas Nicole, sehingga kini, seramai empat orang gelandangan telah ditempatkan di rumah berkenaan yang diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Rumah Minda Ceria (PRMC). 

“Rumah transit ini boleh menempatkan 20 hingga 25 penghuni dalam satu-satu masa dan menerima gelandangan yang mempunyai ciri-ciri ketidakupayaan mental, ketagihan dadah dan alkohol serta sakit melarat atau sakit tua,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga memfokuskan untuk mengadakan pemulihan kepada gelandangan terutama mereka yang mengalami penyakit mental supaya mereka diberi rawatan segera dan boleh mendapat pekerjaan yang baik. 

“Kami juga ada menggunakan kepakaran perubatan dari unit psikiatri dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi memulihkan mereka (gelandangan) yang mengalami masalah mental. 

“Selain itu, pihak kerajaan negeri akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk mengadakan operasi bersepadu melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Unit Psikiatri HTJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam masa terdekat untuk mencari gelandangan yang berkeliaran di sekitar daerah ini dan ditempatkan di rumah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya