Jangkaan OPEC+ kekalkan bekalan tingkat harga minyak - Utusan Malaysia

Jangkaan OPEC+ kekalkan bekalan tingkat harga minyak

HARGA minyak dunia meningkat selepas OPEC+ dijangka mengekalkan had pengeluran minyaknya. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Harga minyak meningkat semalam, sehari sebelum perjumpaan Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak dan sekutunya (OPEC+) yang dijadualkan pada hari ini.

Ia berikutan jangkaan pelabur bahawa negara-negara tersebut akan bersetuju mengehadkan pengeluaran sehingga Mei.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 15 sen atau 0.2 peratus kepada AS$64.29 (RM267.22) selepas menyusut 1.3 peratus kelmarin.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) pu;a melonjak 15 sen atau 0.3 peratus kepada AS$60.70 (RM252.30) selepas turun 1.6 peratus pada sesi sebelumnya.

Penganalisis komoditi Bank Komanwel, Vivek Dhar berkata, OPEC+ dijangka menunjukkan disiplin pengeluaran dan ia akan faktor yang memandu pasaran.

Negara-negara OPEC+ dijadualkan berjumpa hari ini selepas melalui bulan yang memberi tekanan kepada harga minyak disebabkan lanjutan sekatan pergerakan di Eropah, pengedaran vaksin yang perlahan dan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di India dan Brazil, walaupun dunia optimis dengan pertumbuhan di AS.

Pertubuhan itu pada bulan lalu mengejutkan pasaran dengan bersetuju untuk melanjutkan had pengeluaran dengan sedikit pengecualian untuk Russia dan Kazakhstan, ketika permintaan bahan api dilihat semakin pulih.

“Melihat apa yang berlaku sejak itu, kurang rasional untuk menjangkakan mereka menambah bekalan.

“Jadi, kami fikir mereka akan kekalkan disiplin tersebut dalam perjumpaan (hari ini),” kata Dhar.

Di bawah pengehadan sedia ada, OPEC yang diterajui Arab Saudi dan pengeluar bukan ahli OPEC yang diterajui Russia telah mengurangkan bekalan sebanyak lebih tujuh juta tong sehari sementara Arab Saudi melakukan pengurangan tambahan secara sukarela sebanyak sejuta tong sehari.

Arab Saudi bersedia untuk menyokong lanjutan pengurangan bekalan sehingga Jun, termasuk pengurangan sukarelanya untuk melonjakkan harga, sumber yang telah ditaklimatkan perkara tersebut memberitahu Reuters.

Menambah sokongan bahawa pertubuhan itu patut mengehadkan pengeluaran, data daripada kumpulan industri Institut Petroleum Amerika kelmarin menunjukkan bekalan minyak mentah AS meningkat sebanyak 3.9 juta tong dalam tempoh seminggu sehingga 26 Mac.

Ia jauh mengatasi jangkaan penganalisis dalam tinjauan Reuters iaitu sebanyak 100,000 tong. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya