35,473 petugas barisan hadapan terima vaksin dos pertama di Johor

35,473 petugas barisan hadapan terima vaksin dos pertama di Johor

ANTARA petugas barisan hadapan yang sudah lengkap disuntik dua dos vaksin Covid-19 di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 35,473 petugas barisan hadapan telah diberi vaksin dos pertama dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri Johor yang bermula pada 1 Mac lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, sehingga Sabtu lalu, seramai 20,161 petugas barisan hadapan telah lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19. 

“Program imunisasi Covid-19 peringkat negeri Johor yang bermula pada awal bulan lalu masih dilaksanakan dengan gigih mengikut perancangan Kementerian Kesihatan.

“Sasaran liputan 80 peratus penduduk dimulai dengan petugas barisan hadapan iaitu kakitangan kesihatan, polis, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi fasa pertama.

“Fasa kedua akan bermula pada akhir bulan ini yang melibatkan golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya serta bermasalah penyakit kronik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Vidyananthan berkata, mengikut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hanya 997,564 (35.1%) penduduk Johor yang telah mendaftar dalam MySejahtera sehingga Sabtu lalu. 

Katanya, kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan advokasi pendaftaran vaksinasi melalui MySejahtera bagi memastikan golongan yang berkelayakan diberi keutamaan. 

“Masyarakat yang berumur 18 tahun dan ke atas khususnya golongan rentan digesa untuk segera mendaftarkan diri di dalam MySejahtera. Bagi yang tiada akses telefon bimbit, boleh mendaftar di www.vaksincovid.gov.my atau talian 1800-888-828. 

“Bagi yang belum membuat keputusan untuk menerima vaksin, mereka masih perlu mendaftar agar perancangan perolehan vaksin dapat dibuat sekiranya bertukar fikiran untuk mendapatkan vaksin. Mereka boleh bersetuju untuk mendapat vaksin kemudian,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Vidyananthan memberitahu, sehingga kini kes Covid-19 di negeri ini masih lagi dilaporkan secara harian dengan 1,649 kes yang masih aktif dan berkebolehjangkitan.

Tambahnya, kluster melibatkan penularan berskala besar di dalam keluarga ekoran majlis sosial merupakan masalah semasa yang perlu dihindarkan.

“Masyarakat diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 ini. 

“Sesiapa yang ingkar dan melanggar arahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) dan boleh dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi perbadanan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya