Selangor II mangsa kedua Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Selangor II mangsa kedua Negeri Sembilan

PENJAGA gol Negeri Sembilan, Kaharuddin Abdul Rahman menyelematkan gawang daripada dibolosi dalam aksi Liga Perdana menentang Selangor II di Stadium Selayang hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Negeri Sembilan (NS) menjadikan Selangor II mangsa kedua mereka selepas melakar kemenangan 2-1 biarpun mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Pertahanan Negeri Sembilan, Annas Rahmat dilayang kad kuning kedua pada minit ke-89 sekali gus diarahkan keluar padang selepas melakukan kekasaran ke atas Nazrin Nasir.

Skuad kendalian K. Devan sebelum ini memulakan aksi pertama liga dengan langkah kanan apabila menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) II dengan keputusan yang sama pada Sabtu lalu.

Turun dengan motivasi tinggi selepas meraih tiga mata pada aksi pertama liga, kedua-dua pasukan jelas bersemangat untuk memburu kemenangan kedua namun tuan rumah lebih awal menemui rentak apabila melakukan serangan bertali arus ke gawang pelawat sebaik sahaja wisel permainan ditiup.

Begitupun, jentera Selangor II yang diketuai pemain import dari Myanmar, Hein Htet Aung berdepan kebuntuan untuk menembusi gawang yang dikawal penjaga gol pelawat, Kaharuddin Abdul Rahman.

Sebaliknya, dengan hanya satu serangan balas pantas dari sebelah kiri gawang tuan rumah, disusuli lorongan cantik S.Deevan Raj, sebelum berjaya disudahkan R.Barathkumar menerusi rembatan kencang untuk meletakkan skuad Hobin Jang Hobin mendahului 1-0 pada minit ke-32.

Gol itu nyata menyuntik motivasi buat anak buah K. Devan apabila terus menggandakan asakan ke gawang tuan rumah.

Selangor II turut berpeluang menyamakan kedudukan pada minit terakhir babak pertama namun sepakan bola mati Htet Aung sekadar menggegar palang pasukan pelawat.

Bersambung babak kedua, perlawanan kembali dikuasai tuan rumah sehingga memaksa pertahanan Negeri Sembilan bekerja keras menahan asakan bertali arus skuad kendalian Michael Feichtenbeiner.

Usaha keras Selangor II akhirnya membuah hasil apabila tandukan pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar berjaya menggegar jaring pasukan pelawat untuk gol penyamaan pada minit ke-72.

Ketika perlawanan hampir berakhir dengan keputusan seri, penyerang import dari Cameroon, Alain Thierry Akono muncul wira dengan menanduk gol kemenangan buat skuad Hobin Jang Hobin membawa pulang tiga mata.

Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan menerajui takhta liga buat sementara waktu dengan mengumpul enam mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya