Rantau Abang terkenal pendaratan penyu sudah dilupakan?

Rantau Abang sudah dilupakan?

KAWASAN pantai di Rantau Abang, Dungun pernah menjadi tumpuan dunia sebagai lokasi pendaratan penyu belimbing, namun kini tidak lagi meriah kerana ketiadaan persarangan reptilia marin berkenaan. – FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Rantau Abang yang terletak di Dungun di sini pernah mencapai zaman kegemilangannya sebagai lokasi pendaratan penyu belimbing paling popular, kira-kira 71 tahun lalu.

Sekitar tahun 1980-an, Rantau Abang menjadi destinasi pelancongan antara yang terpenting dalam negara dan ia antara enam lokasi di dunia yang dikunjungi penyu daripada spesies terbesar dengan saiz mencecah dua meter panjang dan berat sehingga 600 kilogram, dari bulan Mei hingga September saban tahun.

Mengimbau kenangan, pada 1986, Malaysia pernah menjadi tuan rumah kepada Persida­ngan Persatuan Pelancongan Asia Pa­sifik (PATA) dengan menjadikan penyu berkaca mata hitam sebagai maskot sekali gus menunjukkan betapa pentingnya penyu kepada sektor pelancongan negara.

Keistimewaan tersebut sekali gus menarik ramai pelancong tempatan dan asing ke destinasi itu sejak 1950-an sehingga ada yang sanggup bermalam di tepi pantai semata-mata untuk me­nunggu dan melihat sendiri penyu belimbing mendarat serta bertelur.

Kemerosotan pendaratan pe­nyu belimbing di sini sedikit sebanyak berpunca daripada kebanjiran pengunjung selain cahaya lampu yang menerangi dan mengganggu habitat haiwan berkenaan di pantai Laut Cina Selatan selain aktiviti mencuri telur penyu yang berle­luasa.

Jumlah pendaratan penyu belimbing di lokasi berkenaan merosot drastik daripada kira-kira 10,000 sarang setahun kepada hanya 50 sarang sekitar tahun 1980-an, seolah-olah me­rajuk untuk kembali.

Berdasarkan statistik Jabatan Perikanan, hanya lapan sarang dikesan pada 2010 manakala dua sarang lagi pada 2017 termasuk salah satu daripadanya merupakan penyu belimbing seberat 400 kilogram yang menghadiahkan 92 biji telur pada detik bersejarah 10 September.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Unit Penyelidikan Penyu (Seatru), Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, walaupun persarangan penyu belimbing di negara sudah tiada sejak beberapa tahun ini, namun spesies sama masih mendarat di sekitar Kepulauan Sumatera di Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, penyu di negara jiran berkenaan berbeza subpopulasi dengan yang bertelur di Rantau Abang.

“Terdapat tiga populasi utama penyu belimbing di dunia iaitu di Lautan Pasifik, Atlantik dan Hindi.

“Penyu di Rantau Abang di­percayai daripada Lautan Pasifik sekali gus membentuk populasi unik di Laut China Selatan dan hanya bertelur di Rantau Abang,” katanya.

Mohd. Uzair berkata, subpo­pulasi itu hanya bertelur di jajaran pantai sepanjang tujuh kilometer di Rantau Abang dan tidak pernah dilaporkan dijumpai ber­telur di pantai-pantai lain di sekitar Laut China Selatan.

Namun, katanya, kelibat pe­nyu belimbing yang jangka ha­yatnya antara 80 hingga 100 tahun pernah ditemukan beberapa kali oleh pemancing dan penyelam di dalam air di sekitar Dungun secara bersendirian.

“Kita menganggap penyu belimbing tidak lagi mampu menjalankan fungsi dalam ekologi seperti mengawan.

“Saya menjangkakan bilangan di Laut China Selatan amat rendah dan kebarangkalian untuk saling berjumpa dan bersenyawa juga amat rendah,” katanya.

Penyu belimbing merupakan satu-satunya penyu yang tidak bertempurung keras dan mudah dikenali kerana cengkerangnya yang menyerupai seperti buah belimbing di samping warna badannya kehitaman dan bertompok-tompok putih. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN