Tiga tahun dua beranak tinggal di rumah berlantai tanah

Dua beranak tinggal di rumah berlantai tanah

ANGGOTA Rela bersama Persatuan Cakna Kasih Gua Musang membantu menyiapkan lantai rumah yang menjadi tempat tinggal dua beranak di Kampung Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Dua beranak tinggal di rumah berlantaikan tanah selama tiga tahun di Kampung Kuala Betis di sini kerana tidak mampu mengupah tukang rumah untuk membina lantai simen di kediaman mereka.

Ibu tunggal, Nik Azura Awang, 32, menjalani kehidupan sedemikian ekoran pendapatan tidak menentu bersama anak lelakinya, Ammar Amsyar Tuan Anuar, 2. 

Nik Azura berkata, akibat tiada lantai sebagai pengalas rumah, bahagian badan dan kedua belah kaki anak lelakinya dinaiki kudis.

Katanya, dia tinggal di rumah yang dibina di atas tanah ahli keluarga dalam keadaan serba kekurangan.

“Rumah kami juga tidak mempunyai ruangan apabila di sinilah tempat tidur, dapur dan tandas. 

“Saya memohon bantuan kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu bagi membina lantai simen dan alhamdulillah hari ini tercapai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Persatuan Cakna Kasih Gua Musang dan Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf bekerjasama dengan anggota Rela bergotong-royong membina lantai simen untuk keluarga itu hari ini.

Nik Azura berkata, dia yang sebelum ini pernah bekerja di kedai makan terpaksa berhenti bagi membantu kakaknya, Nik Asni, 40, yang sakit buah pinggang. 

Katanya, kakaknya terpaksa dibawa ke Hospital Gua Musang tiga kali seminggu untuk rawatan.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Cakna Kasih Gua Musang, Siti Nor Azila Zulkifle berkata, pihaknya dihubungi beberapa kali ibu tunggal terbabit supaya membantunya. 

Katanya, lawatan telah dilakukan ke rumah itu dan berasa sedih selepas melihat keadaan rumah yang dihuni ibu tunggal bersama anak lelakinya yang masih kecil.

“Hari ini kita bina dulu lantai simen sebelum bantuan lain seperti kita bina pula tandas dan dapur. 

“Kita prihatin dengan nasib dua beranak itu turut meminta jasa baik anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi menyiapkan lantai rumah dalam masa sehari sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN