GEORGETOWN: Parti DAP berharap dapat menyatupadukan semua wakil rakyat sama ada daripada blok pembangkang mahupun kerajaan dalam mempertahankan demokrasi berparlimen di negara ini dan menghalang Perikatan Nasional (PN) menjadi sebuah kerajaan yang gagal.
Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, DAP berharap, ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan dapat bersama-sama menggesa supaya Parlimen dapat bersidang semula.
Menurut beliau, Parlimen perlu bersidang bagi membolehkan wakil rakyat tanpa mengira parti politik menolak dasar yang disifatkan menekan rakyat sebagai contoh denda RM10,000 dan RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Kita (DAP) menyeru semua ahli pembangkang termasuk daripada pihak kerajaan yang mahu memulihkan Parlimen dan memastikan dapat bersidang semula, marilah kita bersama-sama,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2021 di SPICE Arena, Bayan Baru dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Guan Eng mengulangi pendirian DAP tidak akan menjalin kerjasama politik dengan UMNO di sebalik seruan semua wakil rakyat termasuk daripada kerajaan bersama mendesak Parlimen bersidang semula.
Menurut beliau, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP tidak pernah mengubah pendirian berhubung perkara tersebut sehingga kini.
Jelasnya, kerjasama dengan UMNO itu hanya berlaku atas dasar kepentingan dan manfaat rakyat seperti dengan Kerajaan Negeri Johor dan Perak melibatkan jumlah peruntukan yang sama kepada wakil rakyat pembangkang untuk membantu rakyat.
“Sehingga CEC buat keputusan lain, ini adalah pendirian parti (DAP). Kita boleh ada mesyuarat dan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Johor dan Perak, tiada masalah, tetapi tidak ada kerjasama politik dalam PRU-15, ini kena jelas.
“Sebab itu bila saya sebut untuk faedah rakyat sebagai contoh DAP dan PH sedia kerjasama dengan wakil rakyat UMNO yang sama-sama mahu Parlimen bersidang semula, adakah ini salah?” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam ucapannya mengingatkan ahli-ahli parti itu tidak mengambil mudah atau menganggap akan menang dengan senang di negeri ini sekiranya dilihat gagal menjaga kepentingan rakyat semasa diancam pandemik Covid-19.
Menurut beliau yang juga Ketua Menteri, walaupun krisis kesihatan awam itu dipertanggungjawabkan kepada Kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri juga perlu memikul tanggungjawab bersama kerana yang terkesan adalah rakyat serta ekonomi negeri ini.
“Sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat gagal memainkan peranan gigih untuk membantu rakyat dan ekonomi pulih daripada impak pandemik, DAP akan hilang kepercayaan rakyat.
“Malah, kita juga mungkin ditolak oleh pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










