fbpx

8 Mei 2021, 10:05 am

  TERKINI

Rumah Orang Asli dilengkapi dekoder MyTV

ABDUL Rahman Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan dekoder MyTV kepada Tok Batin, Razali Kulim (kanan) pada majlis penyerahan dekoder MyTV kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Lebih 60,000 isi rumah termasuk pelajar dalam kalangan Orang Asli memperoleh manfaat menerusi program pemasangan dekoder MyTV di seluruh negara.

Menerusi program tersebut, pelajar-pelajar Orang Asli dapat menikmati siaran TV Pendidikan dan saluran lain secara percuma .

Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, anak-anak Orang Asli selepas ini tidak akan ketinggalan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menerusi siaran tersebut.

Katanya, kebanyakan anak Orang Asli sebelum ini tidak dapat mengikuti PdPR berikutan kekurangan akses internet dan alat elektronik seperti tablet, telefon pintar dan komputer.

“Menerusi inisiatif itu, anak-anak Orang Asli dapat mengakses siaran TV Pendidikan dengan baik, sekali gus mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan dekoder MyTV kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Lubuk Legong di sini, hari ini.

Program pemasangan dekoder MyTV itu adalah kerjasama antara KPLB serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Abdul Rahman memberitahu, pemasangan dekoder MyTV secara berperingkat di seluruh negara itu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik.

Tambahnya, program tersebut adalah penyelesaian jangka masa pendek KPLB bagi membantu pelajar-pelajar dalam kalangan anak Orang Asli yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Untuk hari ini, sebanyak 60 dekoder MyTV diberikan secara percuma kepada masyarakat Orang Asli di kampung ini.

“Dekoder MyTV itu juga dipasang dewan bagi membolehkan anak mereka belajar secara berkumpulan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE