Jeti baharu bakal dibina demi kemudahan penduduk di Kuala Besar

Jeti baharu bakal dibina di Kuala Besar

IZANI Husin (tengah) meninjau lokasi untuk membina jeti baharu di Kuala Besar, Kota Bharu bagi keselesaan masyarakat setempat menggunakan perkhidmatan bot tambang untuk ke pasar terapung di Pulau Suri, Tumpat. - FOTO/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pembinaan jeti baharu di Kuala Besar di sini, yang bernilai RM100,000 akan dibina berikutan keluhan orang ramai mengenai ketiadaan jeti yang sempurna untuk kemudahan mereka berulang-alik di beberapa pulau kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa cadangan reka bentuk jeti bersesuaian selain merancang menaik taraf kemudahan lain seperti membina ruang menunggu berbumbung.

Langkah itu katanya, bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk setempat, malah diharap menarik lebih ramai pelancong menggunakan Jeti Kuala Besar untuk ke Pasar Terapung yang terletak di Pulau Suri, Tumpat.

“Terdapat kira-kira 30 bot penambang di Kuala Besar yang digunakan sebagai pengangkutan utama penduduk untuk berulang-alik dari tempat kerja ke rumah mereka dengan menyeberangi Sungai Kelantan setiap hari.

“Kita lihat mereka tidak mempunyai kemudahan yang selesa ketika menunggu bot tambang. Lagi menyukarkan ketika air surut kerana mereka perlu meredah kawasan berlumpur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Jeti Kuala Besar di sini hari ini.

Dr. Izani dalam pada itu berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM20,000 bagi membaik pulih 11 gerai di Dataran Jagung Kampung Tikat, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.

“Proses baik pulih gerai jagung sudah bermula dan akan siap dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi dan bagi mengetengahkan konsep Go Green, kita akan mengecat kesemua gerai jagung ini dengan warna hijau,” katanya.

Beliau turut memberitahu, lebih RM1.1 juta akan digunakan bagi membiayai projek kesejahteraan rakyat di bawah peruntukan Pembangunan Kerajaan Tempatan 2021 (Fasa I) terutama di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Antara projek dalam peruntukan ini termasuklah membaik pulih dan menaik taraf gerai di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Pokok Pinang.

“Selain itu, kita juga akan menaik taraf landskap dan infrastruktur kebersihan iaitu pembinaan tapak-tapak tong sampah serta membaik pulih longkang dan parit di kawasan MPKB-BRI,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya