Pahang, Melaka 'selamat' - Utusan Malaysia

Pahang, Melaka ‘selamat’

PAHANG mendapat lesen untuk bersaing dalam Liga M musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyokong Pahang dan Melaka United boleh menarik nafas lega selepas pasukan kesayangan mereka disahkan layak bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Dua pasukan Liga Super itu antara enam  yang mendapat kelulusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM.

Empat pasukan lain yang turut menerima ‘lampu hijau’ untuk bertanding adalah Kelantan FA, Sarawak United FC, Pulau Pinang FA dan Kuching FA dari Liga Perdana, manakala lesen UKM FC telah ditarik balik.

“Selepas mengambil kira situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri sebelum ini, kesemua pasukan tersebut telah diberi lanjutan tarikh akhir ke 31 Disember 2020.

“Akibat kekangan untuk mendapatkan dokumen daripada pihak ketiga bagi memenuhi syarat, sekali gus tidak disifatkan sebagai melanggar syarat yang telah ditetapkan itu,” kata Pengerusi FIB Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif dalam satu kenyataan FAM sebentar tadi.

Bagaimanapun, lesen yang diperoleh kesemua enam pasukan tersebut hanya lesen kebangsaan FAM dan tidak melibatkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

UKM FC tidak layak untuk bersaing dalam Liga M musim ini.

Kata Sheikh Mohd. Nasir, walaupun semua pasukan tersebut berjaya mendapat lesen penuh, namun Persatuan Bola Sepak Melaka masih mempunyai tunggakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM276,169.75.

Melaka berjaya mendapatkan perjanjian bersama untuk pembayaran berjadual dan bayaran seterusnya akan dibuat sebelum tarikh yang ditetapkan.

“Sekiranya Melaka gagal membuat bayaran, tindakan-tindakan sanksi termasuk dan tidak terhad kepada penarikan balik lesen boleh dikenakan oleh FIB.

“Pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan tiada tunggakan atau terdapat perjanjian bersama untuk penyelesaian atau bayaran berjadual supaya pasukan tersebut masih dalam pematuhan dengan syarat oleh lesen mereka.

“Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa,” katanya.

MELAKA United mendapat lampu hijau untuk bersaing dalam Liga M 2021.

Disebabkan tarikh akhir dokumentasi kewangan bagi pelesenan kelab berakhir pada 30 Jun setiap tahun, Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration (SD) diperkenalkan pada 2019 untuk memantau kes tunggakan kepada pemain, pegawai dan agensi kerajaan yang merangkumi tempoh selepas lesen diberi iaitu 1 Julai hingga 30 November tahun berkenaan sebagai langkah proaktif untuk memastikan penyelesaian tunggakan diambil oleh pasukan.

Berdasarkan SD yang telah diserahkan pada 15 Disember 2020, pasukan Melaka FA, Kelantan FA dan Sarawak United FC telah mengisytiharkan tunggakan pemain dan pegawai dalam tempoh tersebut dan juga dilampirkan persetujuan bersama pegawai dan pemain dan pelan bayaran ansuran bagi tunggakan tersebut.

Merujuk kepada bukti pembayaran yang diserahkan kepada FAM, Melaka FA sudah berjaya membuat bayaran pertama sebanyak RM476,160 dan Kelantan FA pula telah membuat bayaran sebanyak RM44,327, manakala bakinya akan dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah diserahkan.

Dalam perkembangan sama, Sarawak United FC pula akan memulakan bayaran ansurannya mulai Februari 2021.

“Pelan pembayaran bagi pasukan-pasukan ini akan dipantau oleh FAM dari semasa ke semasa.

“Sekiranya pasukan-pasukan tersebut gagal untuk membuat pembayaran untuk tunggakan yang diisytiharkan dalam SD itu mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui bersama, tindakan terhadap pasukan tersebut boleh diambil,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya