Liga M ditunda ke 5 Mac - Utusan Malaysia

Liga M ditunda ke 5 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Liga Malaysia (Liga M) 2021 yang sepatutnya membuka tirai dengan perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada 26 Februari ini ditunda ke 5 Mac.

Begitupun apa yang lebih menyedihkan, pertandingan Piala FA tidak akan diadakan buat musim kedua berturut-turut ekoran keadaan pandemik Covid-19 yang masih mengganas.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan hari ini berkata, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) yang disambung sehingga 4 Februari depan, saingan bola sepak domestik itu terpaksa ditunda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab. Ghani Hassan, keputusan itu dicapai sejurus berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian serta turut mengambil pandangan dan persetujuan daripada wakil-wakil pasukan dalam satu taklimat khas semalam.

Katanya, MFL telah bersedia menyediakan beberapa mekanisme seperti prosedur operasi standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga M 2021 berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik Covid-19.

“MFL selepas Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL termasuk mengambil kira pandangan daripada setiap wakil pasukan telah mencapai kata sepakat untuk meminda tarikh sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac 2021 ini.

“Umum mengetahui bahawa status pandemik Covid-19 berada di paras yang cukup membimbangkan selain kebergantungan status PKP memainkan faktor tetapi MFL mahu bersedia dengan lebih awal.

“Selain permintaan Rakan Kongsi Liga yang mahukan persiapan sekurang-kurang tiga minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia 2021, MFL juga mengambil faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) melibatkan JDT serta pertandingan Piala AFC yang menyaksikan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC dalam kejohanan ini menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga Malaysia 2021 itu dicapai secara bersama,” katanya.

Hari ini, Malaysia mencatat 3,585 kes baharu Covid-19, sekali gus meletakkan situasi PKP masih tidak menentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.