fbpx

Ayuh sokong Nicol David

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Adakah Datuk Nicol David layak dinobat sebagai Atlet Terhebat Sepanjang Zaman?

Jika anda fikir beliau layak menerima penghormatan itu, ayuh berikan sokongan dengan mengundi legenda skuasy negara dalam undian Atlet Terhebat Sepanjang Zaman Sukan Dunia yang mula dibuka kelmarin.

Lebih membanggakan, Nicol, 37, satu-satunya atlet Asia yang tercalon dalam anugerah berprestij tersebut.

Nicol menempatkan diri dalam 24 calon akhir Sukan Dunia yang mewakili 24 sukan berbeza selepas dicalonkan oleh badan skuasy antarabangsa.

Pada 20 Januari depan, 10 calon akhir akan diumumkan dan pemenang Atlet Terhebat Dunia Sepanjang Zaman kemudian dinobat pada 1 Februari.

NICOL DAVID

“Satu penghormatan besar dicalonkan  Sukan Dunia sebagai Atlet Terhebat Sepanjang Zaman.

“Teruskan menyokong saya dengan undian anda,” tulis Nicol dalam media sosial.

Sepanjang kariernya yang luar biasa, jaguh kelahiran Pulau Pinang itu telah merangkul lapan kejuaraan dunia, rekod yang sukar digugat mana-mana pemain skuasy wanita.

Terkenal dengan julukan Duracell Bunny, Nicol juga memegang rekod skuasy lelaki mahupun wanita apabila menghuni takhta No. 1 dunia selama 108 bulan berturut-turut.

Telah memenangi semua gelaran besar yang ditawarkan dalam skuasy termasuk Terbuka Britain, Sukan Komanwel serta Sukan Asia, Nicol akhirnya mengumumkan persaraan pada 18 Februari 2018.

Anda boleh mengundi Nicol di pautan berikut:

http://ow.ly/RINu30rrN0U