Pulau Pinang tetap mahukan feri ikonik dikekalkan - Utusan Malaysia

Pulau Pinang tetap mahukan feri ikonik dikekalkan

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Berbaki dua hari lagi sebelum feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengulangi pendirian kerajaan negeri yang mahukan perkhidmatan itu dikekalkan pada masa depan. 

Beliau berkata, sekiranya isu yang timbul adalah dari segi penyelenggaraan, kos operasi dan piawaian keselamatan, maka ia boleh diatasi dengan meminta Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) serta Kerajaan Persekutuan membeli feri baharu dengan reka bentuk sedia ada. 

“Ini kerana feri Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat negeri ini dan keputusan menamatkan perkhidmatan feri ikonik tersebut pasti memberikan kesan mendalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Awal hari ini, Kon Yeow turut membuat tinjauan di terminal feri di sini dan menaiki bot laju yang akan digunakan bagi pejalan kaki bermula 1 Januari ini dengan diiringi Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng. 

Teik Cheng dalam satu kenyataan selepas tinjauan itu berkata, pihaknya memberi taklimat kepada Kon Yeow mengenai keadaan feri ikonik sedia ada yang sudah berusia lebih 47 tahun serta berkenaan kos operasi dan penyelenggaraan yang amat tinggi. 

“Kon Yeow berharap agar operasi feri baharu ini (bot laju) memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya. 

Tambah Teik Cheng, dalam tinjauan itu juga, Kon Yeow menyatakan harapan supaya sebarang rancangan untuk lima buah feri sedia ada dimaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri yang mana beliau telah memberikan jaminan berhubung perkara itu. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya