fbpx

1 Disember 2021, 12:04 am

Jawi bantu sertu kedai ‘diserbu’ babi hutan di Alamanda

KAKITANGAN Al-Ikhsan dengan dibantu pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melakukan proses samak dan sertu di kedai berkenaan di Alamanda, Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini bergotong-royong ‘menyucikan’ kedai pakaian Al-Ikhsan di Alamanda yang ‘dicerobohi’ babi hutan semalam.

Ia melibatkan 15 orang pegawai termasuk dari ibu pejabat Kuala Lumpur dan dibantu 10 orang staf premis itu yang mengambil masa lebih dua jam melakukan proses samak dan sertu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jawi Putrajaya, Mastuyah Sahari berkata, operasi bermula pukul 10 pagi itu menggunakan 10 kilogram tanah yang dibuat khas untuk tujuan berkenaan.

“Kami menerima permintaan dari pihak Al-Ikhsan sendiri semalam dan selepas selesai proses penyucian ini, surat pengesahan sertu akan dikeluarkan Jawi,” katanya ketika ditemui media.

Semalam, para pengunjung pusat beli-belah di Presint 1 di sini itu gempar apabila seekor babi hutan dipercayai sesat menceroboh masuk kedai berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya kemudian dikerah mengusir haiwan liar itu keluar dan ia dilihat menuju ke padang ragbi di Presint 16 bersebelahan kompleks tersebut.   

Mengulas lanjut, Mastuyah berkata, proses penyucian itu terlebih dahulu melibatkan kerja mengesan dan menghilangkan a’in atau kesan zahir seperti jejak air liur, tapak kaki dan darah.

“Selepas itu dibasuh seluruh laluan tersebut dengan air tanah yang disusuli air bersih mutlak sebanyak enam kali sebelum dikeringkan. Ia ambil masa sebab kedai ini agak luas,” katanya.

Namun kawasan koridor di pusat beli-belah itu memang diuruskan sendiri pasukan petugas Alamanda dan ia hanya melibatkan tempat yang jelas ada kesan a’in oleh haiwan berkenaan.

Pihak Jawi ujarnya, percaya babi hutan itu lari dari Taman Wetland Putrajaya yang mungkin disebabkan setiap minggu ada operasi pemutihan haiwan dijalankan Perbadanan Putrajaya. 

Dalam pada itu, Pengurus Al-Ikhsan Kawasan Lembah Klang, Saiful Adam berkata, semua barangan yang terjejas dilupuskan kerana dianggap kotor dan tidak sesuai dibeli pelanggan.

“Ini termasuk baju, seluar, jersi dan kasut dengan nilai kerugian dianggarkan cecah RM20,000 namun kita tidak mahu mengambil risiko menjual semula barangan yang tercemar,” jelasnya.

Beliau menambah, ketika kejadian tersebut ada 12 pekerja dalam premis dengan beberapa pelanggan dan ia berlaku agak pantas sebelum pihak bomba datang menghalau haiwan itu.   

Saiful turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Jawi yang amat bekerjasama dalam operasi penyucian berkenaan bagi memberi keyakinan semula pelanggan khasnya Muslim. -UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI