Baddrol sah kekal di Kedah - Utusan Malaysia

Baddrol sah kekal di Kedah

BADDROL BAKHTIAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Teka-teki mengenai kedudukan Baddrol Bakhtiar musim depan akhirnya terjawab apabila pemain berusia 32 tahun itu mengesahkan akan kekal di Kedah.

Menurut kapten Lang Merah itu, jiwanya masih di Kedah biar pun telah 15 tahun menabur bakti di negeri ini sejak mula diserap ke dalam pasukan utama pada 2005.

“Perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebenarnya telah pun berjalan dan hampir dimuktamadkan. Jika anda tanyakan keputusan saya, rasanya saya masih kekal di Kedah.

“Ramai yang bertanya tentang perkara itu, jadi saya katakan dengan berterus-terang yang jiwa saya masih di Kedah,” katanya semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan pemain tengah berpengaruh itu dirisik sekurang-kurangnya empat pasukan dalam Liga Malaysia yang mahukan khidmatnya pada musim depan.

Sepanjang berkhidmat buat pasukan itu, Baddrol telah membuat 296 penampilan dan telah menjaringkan 112 gol bersama Lang Merah hingga menjadikannya sebagai salah seorang pemain yang amat disayangi penyokong hijau kuning.

Baddrol menambah, sebagai seorang pemain, menjadi satu perkara biasa untuk dirinya dan rakan-rakan dirisik atau ditawarkan kontrak untuk pasukan lain.

“Saya tak nafikan tawaran itu memang ada tetapi seperti saya nyatakan, jiwa saya masih di Kedah,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor semalam yang sememangnya mahu beliau kekal di Kedah, Baddrol berkata, beliau amat menghargai apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar itu.

“Itu satu penghargaan buat saya. Sebagai seorang pemain, sudah tentu kita hendak menumpahkan jasa buat mereka yang menghargai peranan kita.

“Saya memiliki pendirian sendiri iaitu selagi khidmat diperlukan, selagi itu saya akan bermain buat Kedah dan memberikan sehabis baik.

“Lagi pula musim depan kita akan bersaing dalam Piala AFC dan insya-Allah, kita akan mencuba sedaya mungkin untuk mara lebih jauh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.