JASIN: Polis akan mengambil tindakan terhadap individu yang mana klip videonya tular menunggang motosikal dengan memakai gelang merah jambu setelah lelaki itu selesai menjalani tempoh kuarantin di rumah.
Dalam dua video berdurasi lima dan tujuh saat itu, lelaki terbabit dirakam memakai gelang merah jambu di tangan kirinya sambil menunggang motosikal dipercayai sekitar Cenderah-Chohong, di sini.
Klip video tersebut yang tular mencetuskan kemarahan dan panik dalam kalangan netizen yang menetap di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.
“Tindakan akan diambil sejurus individu terbabit selesai menjalani perintah kuarantin yang ditetapkan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988/ Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No 8) 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, terdapat dakwaan daripada orang ramai bahawa lelaki tersebut dalam perjalanan pulang untuk menjalani kuarantin di rumah setelah membuat saringan Covid-19.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, polis sedang menyiasat kes tersebut dan meminta orang ramai untuk berhenti menularkan klip video tersebut.
“Biar polis siasat, saya minta orang ramai berhenti menularkan klip video itu kerana ia boleh menimbulkan salah faham dan persepsi berbeza.
“Bagaimanapun, sekiranya pemuda tersebut secara sengaja mengingkari perintah kuarantin di rumah, tindakan tegas pasti akan diambil terhadapnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










