PARIS: Pelari pecut Saint Lucia, Julien Alfred mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas acara 100 meter (m) wanita di Sukan Olimpik Paris.
Kejayaan tersebut turut menjadikan Saint Lucia negara pertama dari Caribbean memenangi emas dalam sejarah Olimpik.
Pelari berusia 23 tahun itu mengejutkan juara bertahan dunia dari Amerika Syarikat (AS), Sha’Carri Richardson apabila merangkul emas selepas menamatkan perlumbaan 10.72 saat (s).
Richardson memenangi perak dengan 10.87s diikuti rakan senegaranya, Melissa Jefferson di tempat ketiga dengan 10.92s.
Alfred mendedikasikan kemenangannya itu kepada mendiang ayahnya yang meninggal dunia pada 2013 selepas mengimbau kembali kenangan kanak-kanaknya memasang impian untuk beraksi di Sukan Olimpik.
“Dia percaya saya boleh melakukannya. Dia meninggal dunia pada tahun 2013, dan dia tidak sempat melihat saya di pentas terbesar dalam kerjaya saya.
“Tetapi saya tahu dia akan sentiasa berbangga dengan anak perempuannya yang menjadi seorang olimpian dan kini ini telah terjadi,” katanya. – AFP










