Kemenangan keempat Antonelli

Kemenangan keempat Antonelli

Kimi Antonelli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL: Pelumba muda sensasi Itali, Kimi Antonelli terus mencuri tumpuan apabila meraih kemenangan keempat berturut-turut musim ini selepas menjuarai Grand Prix (GP) Kanada sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan dunia Formula Satu (F1), semalam.

Kemenangan pelumba Mercedes berusia 19 tahun itu hadir selepas mempamerkan aksi matang dalam perlumbaan dramatik yang turut menyaksikan rakan sepasukannya, George Russell gagal menamatkan saingan akibat kerosakan unit kuasa.

Antonelli menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 10.768 saat di depan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Ferrari, manakala juara dunia empat kali Red Bull, Max Verstappen melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Kejayaan itu turut mencipta sejarah apabila Antonelli muncul pelumba pertama dalam sejarah F1 memenangi empat perlumbaan pertamanya secara berturut-turut.

“Ia pertarungan yang sangat menyeronokkan dengan George.

“Kami benar-benar berlumba di had kemampuan. Ia bukan mudah hari ini (semalam). Sayang sekali George mengalami masalah kerana ia pasti menjadi pertarungan yang sangat menarik, tetapi saya tetap bersyukur dengan kemenangan ini,” kata Antonelli.

Hamilton yang meraih podium ke-204 dalam kariernya mengakui Ferrari akhirnya menemui prestasi terbaik mereka musim ini.

“Akhirnya kami menemui rentak terbaik dan menikmati hujung minggu yang baik. Sangat menakjubkan dapat kembali ke podium dan saya sempat bertarung dengan Max, yang memang hebat. Saya sangat gembira, saya suka litar ini,” kata Hamilton.

Verstappen pula menyifatkan podium sulungnya musim ini sebagai petanda positif buat Red Bull selepas permulaan musim yang sukar.

“Saya menikmati beberapa pertarungan menarik. Lebih baik berlumba di kelompok depan dan memang hebat dapat meraih podium pertama musim ini serta berlumba dengan Lewis. Semuanya sangat positif,” kata Verstappen.

Sementara itu, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti Isack Hadjar, Franco Colapinto dan Liam Lawson.

Perlumbaan turut menjadi mimpi ngeri buat McLaren apabila Oscar Piastri sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11 manakala juara dunia, Lando Norris terpaksa menarik diri akibat masalah kotak gear. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN