KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Argentina tersingkir di peringkat suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023 selepas tumpas 1-2 kepada Jerman dalam aksi Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Pertembungan dua gergasi hoki dunia itu boleh diibarat sebagai aksi ulangan final edisi Piala Dunia Remaja di India, namum kali ini skrip serta jalan ceritanya berbeza dengan Jerman keluar selaku pemenang.
Dalam aksi tersebut, skuad Jerman perlu berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Joshua Onyekwue Nnaji yang banyak menafikan percubaan bahaya Argentina termasuk menyelamatkan penalti stroke.
Jerman mendapat gol pertama pada minit ke-32 menerusi jaringan padang Hugo Von Montgelas sebelum Jakob Brilla menggandakan kedudukan menjadi 2-0 tujuh minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.
Tersentakd engan dua gol itu, skuad Argentina memperkemaskan rentak permainan dan mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi Agustin Bonanno yang meledak jaringan pertama pada minit ke-48 melalui gol padang.
Argentina terus dihidangkan dengan pelbagai kesempatan termasuk empat pukulan sudut penalti dan satu penalti stroke secara berturut-turut tetapi pemain gagal menggunakan peluang itu dengan bijak, sekali gus terseingkir di peringkat suku akhir.- UTUSAN