Perancis, England tekad buru penamat positif

Perancis, England tekad buru penamat positif

Thomas Tuchel
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026 mungkin bukan pentas yang diidamkan mana-mana pasukan, namun Perancis dan England tetap berazam menamatkan kempen mereka dengan kemenangan apabila berentap di Miami Gardens, Florida, hari ini.

Kedua-dua pasukan gagal melangkah ke pentas final selepas tewas dalam aksi separuh akhir.

England dikecewakan Argentina 2-1 selepas melepaskan dua gol pada penghujung perlawanan, manakala Perancis tunduk 0-2 kepada Sepanyol sehari lebih awal.

Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui tiada pemain yang mahu beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga kerana sasaran sebenar adalah mara ke final.

“Tiada seorang pun pemain kami atau pemain Perancis mahu bermain dalam perlawanan tempat ketiga. Mereka mahu beraksi di final dan kami sudah memberikan segala-galanya untuk mencapainya,” katanya.

Turut senada dengan Tuchel, jurulatih Perancis, Didier Deschamps apabila dia berpendapat perlawanan tersebut tidak sepatutnya diadakan kerana kedua-dua pasukan masih kecewa gagal merebut gelaran dunia.

“Perkara terbaik untuk Perancis dan England ialah perlawanan ini tidak wujud,” katanya.

Perlawanan itu turut menjadi aksi terakhir Deschamps sebagai pengendali Les Bleus selepas mengemudi skuad kebangsaan selama 14 tahun, termasuk menghadiahkan kejuaraan Piala Dunia 2018.

“Saya tahu ini perlawanan terakhir saya. Saya berpeluang melalui banyak detik indah dan juga saat-saat sukar sepanjang bersama pasukan. Kini masanya untuk meneruskan kehidupan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN