Argentina, Switzerland buat perhitungan

Argentina, Switzerland buat perhitungan

Argentina dan Switzerland sekali lagi membuat perhintungan di pentas Piala Dunia 2026 selepas kali terakhir mereka bertemu di kejohanan itu pada edisi 2014 di Brazil. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANSAS CITY: Argentina dan Switzerland bakal menghidupkan semula nostalgia pertembungan sengit 12 tahun lalu apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertarung dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026, esok.

Pertemuan itu pastinya mengimbau memori di Brazil pada 2014 apabila jaringan masa tambahan Angel Di Maria akhirnya merentap impian Switzerland, sekali gus membawa skuad kendalian Lionel Messi mara ke peringkat seterusnya.

Namun, landskap bola sepak kedua-dua negara telah banyak berubah sejak malam dramatik di Sao Paulo itu.

Jika dahulu Argentina bergelut menamatkan kemarau kejuaraan selama tiga dekad, kali ini mereka hadir dengan status gah selaku juara bertahan dunia selepas menjulang trofi di Qatar 2022.

Meskipun Messi kini sudah mencecah usia 39 tahun dan tidak lagi berada di puncak kepantasan fizikal, namun aura pemenang Ballon d’Or lapan kali itu tetap menjadi paksi kekuatan pasukan.

Dia membuktikannya apabila menginspirasikan kebangkitan luar biasa Argentina untuk menewaskan Mesir 3-2 di pusingan 16 terakhir, meskipun ketinggalan 2-0 ketika perlawanan berbaki 11 minit.

“Kami menderita lagi, tetapi inilah lumrah Piala Dunia. Setiap perlawanan adalah sukar. Kumpulan ini tidak pernah mengaku kalah dan akan terus mencuba sehingga wisel penamat,” kata Messi.

Dalam pada itu, Switzerland kendalian Murat Yakin juga sedang berada di kemuncak motivasi selepas mencipta sejarah mara ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 72 tahun dengan menyingkirkan Colombia menerusi penentuan penalti.

Bagi kapten Switzerland, Granit Xhaka, 33, pertemuan semula dengan Messi adalah satu penghormatan besar.

“Satu keistimewaan dapat berada dalam era yang sama dengannya. Kami pernah menentangnya ketika tewas pada 2014 di Brazil. Kami tahu kualiti yang ada pada Messi dan juga seluruh pasukan Argentina,” katanya.

Sementara itu, Murat Yakin percaya Argentina mempunyai kelemahan yang boleh dieksploitasi, berdasarkan kesukaran yang dihadapi gergasi Amerika Selatan itu ketika menentang Cape Verde dan Mesir baru-baru ini.

“Kami akan menentang juara bertahan dan ini adalah peluang unik. Pada masa yang sama, kami menyedari Argentina bukanlah sebuah pasukan yang ‘kebal’. Ia bakal menjadi perlawanan yang menarik dari sudut taktikal,” kata Yakin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN