Slot gesa pemain pamer aksi luar biasa di Anfield

Slot gesa pemain pamer aksi luar biasa di Anfield

Arne Slot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui pasukannya memerlukan aksi luar biasa untuk mengatasi defisit 0-2 menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara di Anfield, esok.

Slot berkata, kekalahan pada perlawanan pertama di Paris meletakkan Liverpool dalam situasi sukar, lebih-lebih lagi selepas prestasi hambar yang menyaksikan mereka gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang lawan.

Menurutnya, meskipun berdepan juara Eropah yang dibimbing Luis Enrique, peluang untuk bangkit masih terbuka sekiranya The Reds mampu mempamerkan aksi lebih agresif.

“Kami sedar perlukan persembahan yang sangat istimewa untuk mara, namun itu sesuatu yang normal apabila menentang pasukan terbaik Eropah.

“Rekod kami di laman sendiri agak baik dan itu memberi keyakinan untuk mencipta sesuatu tetapi kami perlu berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Dalam masa sama, Slot turut berdepan tekanan selepas prestasi tidak konsisten Liverpool musim ini, termasuk kegagalan mempertahankan kejuaraan liga serta penyingkiran memalukan dalam saingan Piala FA selepas dibelasah Manchester City 0-4.

Bagaimanapun, kemenangan 2-0 ke atas Fulham baru-baru ini sedikit sebanyak meredakan tekanan menjelang aksi penting itu.

Mengulas lanjut, Slot menegaskan anak buahnya perlu mengubah pendekatan dengan menguasai permainan bagi mengelakkan PSG terus mendominasi seperti di Parc des Princes.

“Kami perlu bermula dengan agresif dan mencari gol awal kerana jaringan mampu mengubah momentum perlawanan.

“Dalam pertemuan lalu, mereka menguasai bola hampir 76 peratus, jadi itu perkara utama yang perlu diperbaiki. Jika kami lebih banyak menguasai bola, peluang untuk mencipta serangan juga lebih besar,” katanya.

Liverpool dijangka berdepan cabaran sengit, namun kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menjadi pemangkin kebangkitan The Reds untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN