Arsenal berdepan krisis kecederaan

Arsenal berdepan krisis kecederaan

PEMAIN utama Arsenal kini berdepan masalah kecederaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui beliau melalui detik mencemaskan sepanjang rehat antarabangsa apabila beberapa tonggak utama The Gunners berdepan risiko kecederaan.

Situasi itu menyaksikan lebih 10 pemain Arsenal menarik diri daripada tugasan bersama pasukan kebangsaan, manakala kapten pasukan, Martin Odegaard pula kekal di London bagi menjalani proses pemulihan, menjadikan keseluruhan 11 pemain kini dalam pemantauan rapi.

“Setiap kali rehat antarabangsa, kami sentiasa berdepan kebimbangan. Kali ini lebih mencabar kerana ramai pemain pulang dengan isu kecergasan. Kami perlu menilai mereka satu persatu sebelum membuat keputusan,” kata Arteta.

Dua nama terbaharu yang menyertai senarai kecederaan ialah Piero Hincapie dan Martin Zubimendi selepas masing-masing menarik diri daripada skuad Ecuador dan Sepanyol.

Hincapie dilaporkan dihantar pulang ke utara London sejurus menjalani pemeriksaan perubatan, manakala Zubimendi kembali dengan masalah pada lutut kanan.

Sebelum itu, trio England iaitu Bukayo Saka, Declan Rice dan Noni Madueke turut pulang lebih awal selepas mengalami masalah kecergasan.

Madueke mengalami kecederaan ketika aksi antarabangsa menentang Uruguay yang berakhir 1-1, malah dilihat memakai pendakap lutut ketika meninggalkan Wembley.

Namun, perkembangan positif menyaksikan kecederaan pemain berusia 24 tahun itu tidak melibatkan bahagian lutut yang pernah bermasalah sebelum ini.

Saka dan Rice pula kembali ke kelab untuk menjalani penilaian lanjut selepas hanya sempat menyertai kem England dalam tempoh singkat.

Kesemua mereka kini menyertai kelompok pemain lain seperti Eberechi Eze, Gabriel Magalhaes, William Saliba, Leandro Trossard dan Jurrien Timber yang turut menarik diri daripada tugasan antarabangsa.

Lebih meresahkan Arteta, tujuh daripada 11 pemain tersebut merupakan tonggak utama yang beraksi dalam final Piala Liga minggu lalu, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap kecergasan sebenar mereka.

Statistik turut menunjukkan beban permainan tinggi menjadi antara punca utama apabila sembilan daripada pemain berkenaan merupakan individu paling kerap diturunkan musim ini, dengan Gabriel Magalhaes, William Saliba, Jurrien Timber, Zubimendi dan Rice masing-masing mencatat lebih 3,000 minit permainan.

Manakala Saka, Trossard, Hincapie dan Eze pula menghampiri 2,500 minit, menggambarkan intensiti tinggi yang dilalui skuad kendalian Arteta musim ini.

“Kami tidak boleh mengambil risiko. Keutamaan sekarang adalah memastikan pemain benar-benar pulih sebelum kembali beraksi. Musim masih panjang dan kami perlukan semua pemain dalam keadaan terbaik,” tegas Arteta.

Ketika ini, Arsenal berada dalam kedudukan selesa di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan sembilan mata, selain turut mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dan Piala FA, menjadikan pendekatan berhati-hati sebagai langkah terbaik bagi memastikan momentum pasukan terus kekal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN