SHAH ALAM: Bekalan makanan dan barangan keperluan lain di Selangor dipastikan mencukupi bagi mengelakkan berlaku pembelian panik susulan kenaikan harga petrol dan diesel akibat daripada kesan konflik di Asia Barat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, malah kerajaan negeri mengingatkan supaya rakyat bersedia dengan mental, fizikal dan secara keseluruhan bagi berdepan dengan cabaran yang akan datang.
“Saya bukan hendak takutkan, tak perlulah balik selepas ini pergi ke pasar raya beli stok banyak-banyak, state (kerajaan negeri) akan pastikan bekalan kita mencukupi dan negara juga akan pastikan bekalan mencukupi.
“Sekarang kita akan berdepan (cabaran), kita perlu beberapa unsur perpaduan dan persepahaman yang padu, kita perlu berdaya tahan, berkemampuan berfikir, mempunyai pengetahuan, kekuatan dan bingkas,” katanya ketika berucap pada Majlis Town Hall X Raya Wanita Berdaya Selangor 2026, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tujuh buah kapal milik negara ini termasuk empat yang sarat membawa muatan minyak mentah yang kini terkandas di Selat Hormuz sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan Iran untuk meneruskan pelayaran pulang ke tanah air.
Bagaimanapun, buat masa ini, kesemua kapal itu yang dinaiki 282 orang anak kapal warganegara Malaysia itu masih lagi menunggu masa sesuai sebelum dapat meneruskan pelayarannya melalui Selat Hormuz.
Namun, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dilapor terus memantau rapi bekalan bahan api negara bagi membantu memastikan kestabilan di seluruh negara susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat.
Menurut kenyataannya, hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri juga akan mendapatkan perkembangan terkini berkenaan konflik peperangan antara Israel – Amerika Syarikat dan Iran dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok.
“Sebab itu kerajaan sedang meneliti dengan tekun supaya kita tidaklah memberikan signal yang salah dan dalam masa sama dapat mengajak semua rakyat bersama-sama menangani krisis dan situasi yang mungkin akan datang.
“Kalau kita teliti keadaan di negara-negara jiran, sebenarnya negara-negara jiran seperti Filipina, seperti di Thailand, situasinya sangat tegang bekalan petrol, bekalan gas, bekalan diesel hampir terputus beberapa hari,” ujarnya. – UTUSAN










