PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima alasan penuh keputusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penolakan rayuan berkaitan status kelayakan tujuh pemain warisan negara.
Menurut kenyataan rasmi, FAM akan mengambil langkah seterusnya dengan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.
“FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya,” kata FAM.
Terdahulu, dalam dokumen setebal 64 muka surat, Jawatankuasa Rayuan FIFA telah menghuraikan secara terperinci mengenai keputusan badan induk itu sekali gus mengekalkan semua hukuman yang dikenakan terhadap FAM sebelum ini.
Menurut laporan tersebut, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM serta tujuh pemain berkenaan bergantung kepada sijil kelahiran palsu bagi menyokong dakwaan bahawa mereka mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, sekali gus melayakkan diri menyarung jersi Harimau Malaya.
Siasatan lanjut mendedahkan FAM menyenaraikan datuk dan nenek pemain terbabit sebagai individu kononnya lahir di Malaysia, sedangkan rekod rasmi yang diterima dari Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda membuktikan sebaliknya, kesemuanya lahir di negara asal masing-masing.
FIFA turut menegur tindakan FAM mengemukakan dokumen bercanggah serta dakwaan keturunan yang tidak sah, selain gagal membuat semakan sewajarnya walaupun berulang kali diminta memberikan penjelasan oleh badan induk itu.
Pemalsuan dokumen berkenaan turut diakui memainkan peranan besar dalam mendapatkan pengesahan kelayakan pemain, membolehkan mereka turun beraksi dalam perlawanan antarabangsa termasuk kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada Jun lalu, dengan dua daripada pemain warisan tersebut menjaringkan gol. – UTUSAN










