KUALA NERUS: Permainan longgar dan gerakan mudah dipatahkan lawan hampir menghukum Terengganu FC (TFC), namun bernasib baik apabila dapat mengikat PDRM FC dalam saingan Liga Super, kelmarin.
Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, skuad Penyu ketinggalan dua gol menerusi sentuhan penyerang The Cops, Henri Doumbia sebelum bangkit menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Azam Azmi Murad dan Yann Mabella di hujung perlawanan.
Ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, permainan longgar pada awal babak ditambah gerakan yang mudah dipatahkan lawan jelas menampakkan kelemahan TFC yang hampir membuatkan PDRM FC membawa pulang tiga mata penuh.
Beliau mengakui prestasi yang dipamerkan terutama pada awal permainan jauh daripada apa yang dirancang walaupun anak buahnya akhirnya dapat mengelak kekalahan.
“Sepuluh minit pertama, kita terlalu perlahan dan berhati-hati. Apabila PDRM FC menjaringkan gol, baru kita mahu bangkit. Itu sudah terlambat.
“Dua gol yang dilepaskan adalah gol mudah. Pertahanan gagal berkomunikasi dengan baik dan Mabella juga gagal memanfaatkan peluang yang ada. Ini antara punca utama kami gagal meraih tiga mata di laman sendiri,” katanya.
Menurut Badrul Afzan, kesilapan seperti itu tidak sepatutnya berlaku jika TFC mahu kekal bersaing musim ini, namun beliau memuji kesungguhan pemain yang terus berjuang sehingga wisel penamat ditiupkan.
“Secara keseluruhan, hanya dua kesilapan itu yang membezakan keputusan. Pemain perlu belajar daripadanya supaya ia tidak berulang,” katanya.
Sementara itu, jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil memuji ketajaman Doumbia yang meledak dua gol meskipun hanya menyertai empat sesi latihan sejak tiba minggu lalu.
“Dia beraksi cemerlang selama 75 minit dan memberi impak besar kepada pasukan. Bukan mudah untuk datang ke Gong Badak menentang salah satu pasukan terbaik negara.
“Kami datang untuk bermain secara terbuka, satu taktikal yang berisiko tetapi keseluruhan pemain faham dan melaksanakannya dengan baik,” katanya.-UTUSAN