PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City FC dijangka menjadi antara pencabar utama Liga Super musim depan selepas berjaya mendapatkan khidmat tiga pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tiga pemain tersebut ialah pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid, pemain sayap lincah kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo serta pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, berkata, kehadiran trio itu diyakini mampu menambah kekuatan KL City dan meningkatkan persaingan dalam pasukan.
“Saya ada lagi beberapa pemain lain yang sedang dalam perancangan. Insya-Allah, dengan kemasukan pemain-pemain ini, kita harap prestasi pasukan akan bertambah baik dan dapat bersaing dalam kelompok teratas.
“Sasaran kita adalah untuk berada dalam kelompok tiga terbaik musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
KL City sebelum ini menunjukkan peningkatan konsisten dalam saingan Liga Malaysia, malah dianggap sebagai antara pasukan yang memiliki barisan pemain berpotensi besar.
Safawi, 27, yang terkenal dengan rembatan kencang kaki kiri, dijangka menjadi watak penting dalam memperkukuh jentera serangan KL City, manakala Hidalgo dan Syameer bakal menambah kestabilan di bahagian serangan dan pertahanan.
Musim baru Liga Super dijadual membuka tirai pada awal Ogos depan dan penyokong ibu kota dilihat semakin teruja dengan perkembangan positif yang dibawa KLFA.- UTUSAN