Bekalan makanan mencukupi menjelang Ramadan dan Syawal – FAMA - Utusan Malaysia

Bekalan makanan mencukupi menjelang Ramadan dan Syawal – FAMA

Abdul Rashid Bahri (dua,i kiri) membunyikan horn sambil Muhamad Akmal Saleh merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah Tempatan sempena Karnival Jualan Agro MADANI Negeri Melaka di Dataran Orang Kampung, Merlimau, hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan makanan mencukupi dan stabil menjelang Ramadan dan Syawal di seluruh negara.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya telah membuat persediaan awal termasuk penyelarasan bekalan bersama pengeluar, pemborong dan usahawan bagi memastikan keperluan barangan segar dan asas mencukupi.

Menurut beliau, antara barangan yang diberi tumpuan ialah ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan serta barangan keperluan harian yang lazimnya mencatat peningkatan permintaan menjelang musim perayaan.

“Kita telah menyusun jadual bekalan dan memperkukuh rangkaian pemasaran di semua negeri bagi memastikan tiada gangguan bekalan.

“Setakat ini, bekalan adalah stabil dan mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan di bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Karnival Jualan Agro MADANI Negeri Melaka di Dataran Orang Kampung, Merlimau di sini hari ini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Abdul Rashid berkata, FAMA turut memperluaskan pelaksanaan program jualan terus kepada pengguna termasuk menerusi inisiatif Agro MADANI bagi membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memantau situasi pasaran dari semasa ke semasa bagi memastikan harga kekal kompetitif dan tiada aktiviti pencatutan berlaku.

“FAMA komited untuk memastikan rakyat dapat membuat persiapan Ramadan dan Syawal dengan tenang tanpa perlu bimbang mengenai bekalan makanan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, FAMA menyasarkan nilai jualan sebanyak RM75 juta menerusi penganjuran program Agro MADANI di seluruh negara sepanjang tahun ini.

“Bagi tahun ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 penyertaan usahawan dan pelaksanaan kira-kira 680 siri jualan di seluruh negara sehingga awal Syawal dan kita optimis sasaran RM75 juta dapat dicap,” katanya.

Katanya, tahun lalu pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI merekodkan nilai jualan mencecah RM129.5 juta membabitkan 81,000 usahawan dan lebih 13.7 juta isi rumah mendapat menikmati manfaat program tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN