Perjalanan buru tiket ke Piala Asia 2027 belum tamat- Hevel

Perjalanan buru tiket ke Piala Asia 2027 belum tamat- Hevel

HEVEL berjaya mengemudi jentera tengah Harimau Malaya dengan baik dalam aksi menentang Vietnam, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Arkitek tengah Harimau Malaya, Hector Hevel berkata, perjalanan skuad negara baru sahaja bermula walaupun berjaya membelasah Vietnam 4-0 pada aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

Katanya, misi memburu tiket ke Piala Asia 2027 masih belum berakhir kerana masih berbaki empat perlawanan dan pastinya cabaran lebih getir menanti mereka selepas ini, maka para pemain perlu meningkatkan lagi tahap permainan.

“Ia permulaan yang baik (kemenangan ke atas Vietnam), tapi belum berakhir lagi. Kita masih ada empat lagi perlawanan yang menunggu.

“Kita perlu perkemaskan lagi permainan dan cuba meraih kemenangan. Nampak seperti kami sudah berpuas hati, tapi sebenarnya kita masih belum puas,” kata tonggak warisan berdarah Belanda-Malaysia berusia 29 tahun itu.

Hevel bersama Nooa Laine membentuk gandingan mantap apabila menguasai jentera tengah sepanjang permainan berdepan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), kelmarin.

Hevel turut memainkan peranan besar dalam aksi pertamanya bersama Harimau Malaya apabila membantu menewaskan Nepal 2-0 dan turut mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.

Mengulas mengenai pertembungan dengan Vietnam, Hevel akui rakan sepasukannya beraksi baik dan wajar keluar padang sebagai pemenang.

“Mereka (Vietnam) pasukan yang baik di mana kami sudah menganalisis permainan mereka dan kita sedar bukan mudah untuk tewaskan mereka. Namun kita cuba dan akhirnya ia buahkan hasil, mereka memang pasukan yang baik tapi kami menang.” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN