Tutup kelab, banyak pihak terjejas, periuk nasi tertutup

Tutup kelab, banyak pihak terjejas, periuk nasi tertutup

Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penutupan sesebuah kelab bola sepak dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) terutama Liga Super bukan hanya memberi kesan kepada pemain di atas padang, namun memberi impak kepada banyak sektor.

Hakikatnya, kesan penutupannya jauh lebih besar kerana banyak pihak yang bergantung hidup dengan ekosistem bola sepak profesional di Malaysia.

Penganalisis sukan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim berkata, ramai tidak menyedari bahawa penarikan diri sebuah kelab akan turut menjejaskan pelbagai individu dan organisasi lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam industri ini.

“Jika sesuatu FC tutup dan tarik diri dari liga, bukan sahaja pemain, kaki tangan teknikal dan pengurusan sahaja terjejas, tetapi tempiasnya juga bakal dirasai oleh ramai lagi pihak yang berkepentingan,” ujarnya.

Antara yang bakal menerima kesan termasuklah pemilik stadium yang kehilangan sumber sewaan, syarikat pengendali tiket dan keselamatan, sukarelawan perlawanan, syarikat barangan rasmi kelab dan peniaga makanan di sekitar stadium yang lazimnya bergantung kepada pendapatan mingguan.

Lebih membimbangkan, apabila kelab utama berundur, keseluruhan struktur akar umbi seperti skuad Piala Presiden, Bawah-19, Bawah-17 dan Bawah-14 juga akan terkubur.

Ini akan menjejaskan peluang bakat muda untuk berkembang dan menonjolkan kemampuan mereka.

“Ini akan menyebabkan ‘pool of talent’ kita terjejas teruk dan pusat pembangunan seperti AMD juga bakal kekurangan bakat baharu untuk diketengahkan kepada Harimau Malaya.

“Akhirnya, kita mungkin lebih lama bergantung kepada pemain naturalisasi,” jelas Pemegang Diploma Profesional Kejurulatihan AFC itu.

Tambah beliau, situasi ini ibarat pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’, satu realiti yang perlu dielak demi kelangsungan bola sepak negara.

Justeru, beliau berpandangan bahawa sudah tiba masanya kelab-kelab ini berusaha melakukan ‘comeback’ dengan merancang penstrukturan semula yang lebih mampan, menjenamakan semula pasukan, melangsaikan hutang lama, dan melantik tenaga profesional untuk membawa kelab kembali ke landasan yang betul.

“Kita tidak kurang pakar dan sumber dalam negara. Bola sepak ialah sukan nombor satu di Malaysia diminati semua golongan.

“Jika ada usaha dan hala tuju yang jelas, saya yakin kita mampu bangkit semula,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN