KDA FC masih bernyawa, cuba pancing Quaresma

KDA FC masih bernyawa, cuba pancing Quaresma

Ricardo Quaresma akan menyertai persahabatan antara All Star Kedah menentang All Star Malaysia di Stadium Darul Aman, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kehadiran legenda bola sepak Portugal, Ricardo Quaresma ke Kedah di saat nasib Kedah Darul Aman (KDA) FC masih tidak menentu memberi semangat baharu buat peminat Sang Kenari.

Bekas bintang Barcelona dan Chelsea itu sebelum ini dikhabarkan oleh pemilik KDA, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar sedang ditawarkan untuk menyarung jersi pasukan Hijau Kuning bagi musim 2025/2026.

Kelmarin, Quaresma yang kini berusia 41 tahun menjejakkan kaki ke Alor Setar bagi menyertai perlawanan persahabatan antara All Star Kedah menentang All Star Malaysia di Stadium Darul Aman, malam ini.

Ketibaan Quaresma dengan diiringi seorang lagi bekas pemain Portugal, Joao Tomas, disambut kira-kira 50 penyokong yang setia menunggu kelibat dua bekas pemain antarabangsa itu.

Terbaru, Mohd. Daud berkata, perlawanan All Star Match melibatkan Quaresma serta barisan legenda Kedah dan Malaysia dirancang sebagai salah satu inisiatif untuk menarik penajaan luar agar dapat membantu kelab yang penuh legasi itu bangkit semula.

“Saya amat memahami kegusaran para penyokong yang mahukan isu tunggakan gaji diselesaikan segera. Percayalah, saya juga berkongsi keinginan yang sama.

“Namun sehingga kini, belum ada usaha yang benar-benar tertumpu kepada penyelesaian cabaran kewangan semasa. Ada juga yang berkongsi kisah bantuan, tetapi kebanyakannya hanya berkait dengan komitmen masa lalu.

“Isu semasa ini masih belum menemui jalan penyelesaian yang nyata. Jadi, saya percaya setiap penyokong mempunyai peranan melalui pembelian tiket yang secara langsung menyumbang kepada proses pemulihan kelab ini,” katanya.

Mohd. Daud berkata, usaha itu mungkin kelihatan kecil, tetapi sangat besar ertinya buat pengurusan KDA terutama kepada beliau sendiri yang telah lama memikul tanggungjawab itu.

“Kini, saya mengajak semua untuk bersama-sama, bukan dengan desakan tetapi dengan tindakan yang boleh mengubah nasib kita dan membina tunas harapan. Jangan biarkan saya dan kelab keseorangan di masa susah dan sulit,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal KDA, Nelson Sam Martin berkata, kehadiran Quaresma ke Kedah merupakan peluang untuk kelab itu mempromosikan pasukan yang sebelum ini banyak menempa kejayaan dalam saingan liga tempatan.

“Oleh itu, penyokong bola sepak Kedah diminta memenuhi stadium pada perlawanan itu kerana kelab telah berusaha sebaik mungkin bagi merealisasikan kehadiran Quaresma serta Tomas seperti dijanjikan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini KDA FC membuat kejutan apabila mengumumkan secara terbuka bahawa pasukan itu ada membuat tawaran kepada Quaresma untuk beraksi dengan Sang Kenari bagi musim 2025/2026.

Pasukan itu bagaimanapun meletakkan syarat tertentu antaranya, gaji pemain yang terkenal dengan gelaran ‘King of Travela’ itu akan dibiayai oleh penaja dari luar negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya