PETALING JAYA: Ketiadaan pemain Sri Pahang dalam senarai 38 pemain yang dipanggil dalam kem latihan skuad kebangsaan menjelang aksi berdepan Cape Verde dan Vietnam telah membangkitkan persoalan dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Ia berikutan prestasi cemerlang dipamerkan beberapa pemain Sri Pahang terutamanya Ibrahim Manusi yang berjaya mengemudi jentera tengah Tok Gajah dengan baik ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2025 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Lebih mengejutkan, barisan kejurulatihan Harimau Malaya lebih membuka mata memilih dua pemain yang kurang mendapat minit permainan iaitu Nathaniel Hong Wan dan Junior Eldstal untuk berada dalam kem latihan skuad kebangsaan kali ini.
Begitupun, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski tampil memberi penjelasan bahawa kedua-dua pemain berkenaan menunjukkan prestasi baik dalam sesi latihan bersama JDT.
Beliau turut memuji prestasi ditunjukkan beberapa pemain Sri Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari dan mengakui peluang untuk mereka akan tiba pada masa akan datang.
“Hong Wan sudah menjalani latihan beberapa minggu sebelum musim berakhir bersama JDT. Junior pula berlatih bersungguh-sungguh setiap hari. Saya lihat sesi latihan mereka di JDT.
“Mereka (pemain Sri Pahang) bermain dengan baik dan saya menghormati usaha serta prestasi mereka sepanjang tahun ini. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dan bersaing untuk merebut tempat. Mereka mungkin tidak (dipanggil) masa ini tetapi mungkin pada masa akan datang,” katanya Cklamovski.
Daripada 38 pemain yang dipanggil, beliau mengekalkan 25 pemain dari skuad ketika menentang Nepal pada aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, 25 Mac lalu.-UTUSAN