PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berada dalam dilema dalam memilih sama ada Muhammad Azeem Fahmi atau Shereen Samson Vallabouy untuk diberikan tiket wildcard ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Azeem yang beraksi dalam acara 100 meter berpotensi besar untuk meraih tiket itu, manakala Shereen perlu mengharapkan keajaiban untuk dipilih kerana dia perlu bertukar acara kerana kuota wildcard tiada untuk acara 400m.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan keputusan untuk memilih salah seorang daripada atlet terbabit dan pengumuman hanya dilakukan pada 3 Julai ini.
Shahidan berkata, kedua-dua atlet berkenaan layak untuk mewakili Malaysia ke Paris berdasarkan prestasi semasa dan pencapaian pada musim ini biarpun gagal melayakkan diri secara merit pada aksi kelayakan.
“Kini tugas kita adalah untuk pilih salah satu daripada mereka (Azeem dan Shereen). Ianya sukar kerana edisi lepas (Olimpik) kami diberi dua slot (wildcard) namun kini hanya satu.
“Kedua-dua layak berlari 100m. Ketika ini saya sedang membuat penelitian terbaik dan akan mengumumkan pada minggu depan.
“Saya telah berjumpa dengan mereka dan berbincang namun ianya tidak banyak perkara. Saya hanya memberi penekanan tentang sifat positif untuk mereka capai prestasi cemerlang dan gemilang,” kata Shahidan.
Sekiranya Shereen dipilih untuk mewakili Malaysia ke Paris, beliau perlu berlari untuk acara 100m iaitu bukan acara utamanya, namun atlet berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu pernah merekodkan masa peribadi terbaik 11.61 saat (s).
Sementara Azeem pula, sememangnya merupakan jaguh pecut negara bagi acara 100m dan beliau juga merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s.
“Kedua-dua atlet ini akan beraksi di Surabaya (Sukan Universiti ASEAN) pada 2 Julai ini. Dan seperti anda tahu 2 atau 3 Julai kami akan menamakan atlet wildcard.
“Keputusan mereka di AUG tidak diambil kira oleh penelitian kami susulan tarikh tutup kelayakan berakhir sebelum kejohanan bermula. Bagaimanapun kami mahu melihat mereka pamerkan aksi terbaik pada temasya terbabit,” katanya lagi.
Habis










