Penyokong mahu Elavarasan diganti

Malaysia ‘in’, Elavarasan ‘out’?

SKUAD bawah 23 tahun negara tiba di KLIA, Sepang semalam selepas menamatkan kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun layak ke Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar tahun depan, namun penyokong bola sepak tempatan nampaknya belum gembira dengan prestasi dan mutu permainan yang ditunjukkan skuad Harimau Muda.

Kelmarin, Malaysia kalah 1-0 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H di Chonburi, sekali gus terlepas untuk layak secara automatik.

Selepas beberapa jam me­nunggu, Malaysia disahkan layak berentap dari 15 April hingga 3 Mei selaku empat naib juara terbaik bersama Kuwait, Tajikistan dan China.

Malaysia pada mulanya terikat dengan Iran kerana kedua-dua pasukan mengumpul enam mata, berkongsi perbezaan gol dan bolos yang sama selepas tamat peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, skuad negara layak selepas hanya mencatat -4 bagi mata disiplin berban­ding Iran -7, mengambil kira jumlah kad kuning.

Di media sosial, peminat mengkritik taktikal jurulatih, E. Elavarasan yang dianggap sudah lapuk serta ketinggalan ­biarpun pasukan negara sebelum itu menewaskan Bangladesh 2-0 dan Filipina 4-0.

AKSI Malaysia ketika menentang Thailand dalam kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi kelmarin. – IHSAN FAM

Ada yang mencadangkan jurulatih skuad senior, Kim Pan Gon mengambil tugas pasukan dan perkara itu tidak mustahil kerana Indonesia dan Vietnam menggunakan kaedah sama.

“Biar Pan Gon ambil alih skuad B-23, kalau tidak boleh juga Pan Gon kena main peranan dan cadangkan siapa yang layak ganti Elavarasan, perkara ini perlu diberikan perhatian untuk elak jadi lauk di Qatar.

“Corak permainan lawan Thailand kelaut, banyak bermain di bahagian belakang seperti Malaysia sedang mendahului, sedangkan kita mahukan kemenangan, tidak masuk akal,” kata Helmi Huzairy.

“Mantapkan skuad B-23, terap­kan gaya seperti skuad senior, baru senang Pan Gon nak buat kerja selepas ini dan tidak perlu bermula dari ‘0’ semula,” kata Ridhuan Ibrahim.

Ketidakpuasan hati peminat kena pada tempatnya jika dilihat persembahan skuad B-23 yang gagal bangkit selepas ketinggalan, mereka hanya berlegar-legar di kawasan tengah, hantar bola ke belakang selain banyak kehilangan bola.

Ini kali ketiga Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia B-23 selepas edisi 2018 di China, selain layak pada 2022 di Uzbekistan.
Pencapaian terbaik Malaysia ialah mara sehingga ke suku akhir pada 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya