Josue harap ulangi tuah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

Josue harap ulangi tuah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

SELEPAS meledak hatrik ketika Malaysia membelasah Papua New Guinea, Selasa lalu, Paulo Josue berharap prestasi baiknya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dapat diulangi apabila berdepan membantu KL City menentang Terengganu di venue sama pada separuh akhir Piala FA, Ahad ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue berharap tuah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak terus memihak kepadanya untuk aksi separuh akhir Piala FA, Ahad ini.

Masih segar dengan ledakan hatrik bertemu Papua New Guinea, Selasa lalu, Josue bakal turun ke gelanggang sama bersama KL City FC bertemu Terengganu FC (TFC).

Menurut tonggak berusia 34 tahun itu, prestasi semasa untuk Harimau Malaya mahu diteruskan dengan merobek pintu gol TFC sekaligus membawa KL City ke pentas akhir.

“Sudah tentu saya menjangkakan aksi sengit bertemu TFC di hadapan puluhan penyokong mereka namun kami sudah kalis dengan tekanan itu dan bersedia dengan apa jua kemungkinan.

“Terpulang kepada ketua jurulatih, Bojan Hodak, untuk mencatur strategi terbaik mengetuai jentera serangan dan saya boleh menggalas tugas itu sekiranya diperlukan.

“Dengan prestasi semasa juga semakin baik, KL City akan turun dengan misi kemenangan untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

PAULO Josue (kiri) mencatat hatrik, manakala Arif Aiman meledak  empat gol.

Josue muncul antara wira negara selepas menyumbat satu gol ketika mengalahkan Kepulauan Solomon, 4-1 sebelum mencipta hatrik dalam kemenangan 10-0 ke atas Papua New Guinea.

Jaringan itu merupakan kali pertama dihasilkannya sejak bergelar pemain naturalisasi, Februari lalu ketika membuat penampilan bertemu Turkmenistan dan Hong Kong.

Menurut Josue, sentuhan jaringan tersebut hadir tepat pada masanya ketika skuad KL City FC dan Harimau Malaya memasuki tempoh kritikal menuju penghujung tahun ini.

“Memasuki pusingan kedua Liga Super, kami mahu membaiki kedudukan liga selain melakukan sesuatu dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia yang kini berformat baharu.

“Malaysia juga sedang dalam persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 serta saingan Piala Asia di Qatar, Januari nanti. Jadi saya harus kekalkan momentum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya