Liverpool mahu cipta keajaiban di Madrid

Liverpool mahu cipta keajaiban di Madrid

PEMAIN Liverpool menjalani latihan akhir semalam sebagai persiapan menghadapi Real Madrid, awal pagi esok. - IHSAN LIVERPOOL FC

LIVERPOOL: Tewas 1-0 kepada Bournemouth dalam aksi ter­akhir Liga Perdana, Sabtu lalu selain perlu bangkit daripada kekalahan 2-5 kepada Real ­Madrid pada perlawanan pertama Liga Juara-Juara, Liverpool memerlukan keajaiban yang bukan sedikit untuk menang di Santiago Bernabeu esok.

Pada ketika anak-anak buah Jurgen Klopp dilihat kembali mendapat rentak selepas membelasah Manchester United 7-0 pada 6 Mac lalu, momentum mereka disekat dengan kekalahan di Bournemouth.

Begitupun, ancaman Liverpool tetap menggerunkan Real ke­rana mereka pernah mencipta detik kebangkitan hebat dalam Liga Juara-Juara.

Ini juga peluang terakhir Reds untuk menamatkan musim dengan trofi kerana sudah ter­singkir dari semua pertandingan lain.

Pada 2019, Liverpool ketinggalan 3-0 pada separuh akhir pertama di Barcelona, namun bangkit dengan kemenangan 4-0 dalam aksi kedua di Anfield, sekali gus layak ke final sebelum muncul juara.

Kejayaan menjuarai gelaran Eropah 2005 di Istanbul detik paling diingati.

Mereka ketinggalan 0-3 kepada AC Milan dalam perlawanan akhir, namun bangkit mengikat kedudukan 3-3 sebelum menang penentuan sepakan penalti.

GANDINGAN Nunez-Salah-Gakpo dijangka menjadi pilihan Liverpool.

Bezanya kali ini cabaran lebih sukar kerana Reds bakal berdepan sorakan padu penyokong Real di Madrid, malah mereka juga mempunyai rekod pertemuan yang buruk dengan juara Eropah 14 kali itu.

Klopp dijangka mengekalkan trio serangan Mohamed Salah-Cody Gakpo-Darwin Nunez untuk berdepan Real, biarpun prestasi mereka tidak menentu.

Kepulangan semula pemain tengah berpengalaman, Thiago Alcantara mungkin menyaksikan sedikit perubahan dilakukan.

“Sudah tentu ia tidak bagus kalah 2-5, namun dalam bola sepak perkara begini boleh berlaku, terutama apabila berdepan lawan seperti Real Madrid.

“Tugas kami sekarang adalah memastikan kesilapan tidak berulang dan memberi segala­nya di Madrid,” kata Klopp.

Klopp juga memilih untuk tidak berlatih di Bernabeu sehari sebelum perlawanan seperti kebiasaan.

KARIM Benzema (kiri) menjalani latihan bersama Real Madrid semalam.

Sementara itu, Real dijangka tetap menurunkan Karim Benzema dalam kesebelasan utama biarpun bintang pe­nyerang ­Perancis itu baru pulih daripada kecederaan buku lali.

Menurut pengendali Los Blancos, Carlo Ancelotti, mereka tidak boleh memandang mudah pertemuan menentang Liverpool yang mempunyai ­keupayaan untuk bangkit dan melakar kejutan.

“Ketika di Anfield, kami ke­tinggalan 2-0. Liverpool pasukan hebat yang boleh membuat anda menderita.

“Lagipun persaingan ini ­be­lum berakhir, jadi tidak mungkin kami akan mengambil ringan,” ujar pengendali dari Itali itu. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN