LONDON: Hambar dalam saingan domestik, namun Chelsea meneruskan kecemerlangan di pentas Eropah apabila melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Jaringan Kai Havertz dan Raheem Sterling membantu Blues menewaskan Borussia Dortmund 2-0 di Stamford Bridge, sekali gus mara secara agregat 2-1.
Kemenangan itu mengurangkan sedikit tekanan pengendali Chelsea, Graham Potter yang menyaksikan pasukannya bergelut dalam Liga Perdana Inggeris dengan menghuni tangga ke-10.
Dortmund yang menguasai babak pertama hampir membuka jaringan menerusi dengan Marco Reus menerusi sepakan percuma sejauh 25 ela, namun ia diselamatkan oleh Kepa Arrizabalaga.
Chelsea yang bergantung kepada serangan balas turut mencipta beberapa peluang baik.
WHAT A TURNAROUND! 🙌#UCL pic.twitter.com/UtSh61jhfO
— Chelsea FC (@ChelseaFC) March 7, 2023
Sepakan Havertz terkena tiang dan kemudian satu gol dibatalkan kerana dia berada dalam posisi ofsaid, manakala Joao Felix dan Kalidou Koulibaly turut mensia-siakan peluang bermata emas.
Sterling akhirnya membuka jaringan dua minit sebelum rehat apabila merembat tinggi ke gawang lawan.
Separuh masa kedua bermula dramatik apabila video bantuan pengadil (VAR) terpaksa digunakan pada minit ke-50 bagi membantu memberikan penalti kerana bola terkena tangan pertahanan Dortmund, Marius Wolf.
Sepakan Havertz pada awalnya terkena tiang tetapi dia tidak melakukan kesilapan dengan percubaan kedua selepas VAR mengarahkan pengambilan semula kerana pemain lawan sudah berlari keluar lebih awal.
Chelsea kini akan bertandang ke Leicester dalam aksi Liga Perdana pada Sabtu, manakala Dortmund menentanh Schalke pada saingan Bundesliga.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Benfica membelasah Club Brugge 5-1 untuk mara ke suku akhir secara agregat 7-1. – AGENSI