PETALING JAYA: Tidak perlu panggil pemain naturalisasi sekadar untuk melengkapkan pasukan, sebaliknya hanya senaraikan mereka yang benar-benar berkualiti dan mampu membawa perbezaan kepada skuad kebangsaan.
Itu pandangan bekas pemain negara, Lim Chan Yew mengenai tujuh pilihan naturalisasi yang dimiliki Harimau Malaya ketika ini selepas kapten Kuala Lumpur City (KL City), Paulo Josue dan Endrick dos Santos (Johor Darul Ta’zim) mendapat kerakyatan Malaysia
Chan Yew yang juga bekas penolong jurulatih Selangor berkata, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak patut mengulangi kesilapan lama apabila membawa masuk Guilherme de Paula, yang bukan sahaja gagal memberi impak, malah kualitinya dianggap sama dengan pemain tempatan.
“Pemerhatian saya setakat ini, Malaysia okay saja dalam mana-mana kejohanan, walaupun tidak ada naturalisasi. Yang penting, jangan ulangi kesilapan sama contohnya memanggil De Paula.
“Saya rasa, dia boleh dikatakan pemain naturalisasi yang gagal dan dia juga kesilapan besar untuk skuad kebangsaan pada masa itu (kelayakan Piala Asia 2023, tahun lalu),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Skuad negara mempunyai tujuh naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi, Lee Tuck, Sergio Aguero, Josue dan Dos Santos.
Kata Chan Yew, dari satu sudut Pan-gon kini mempunyai lebih pilihan pemain untuk dibawa ke Piala Asia Qatar tahun depan.
Begitupun pada akhirnya, memilih pemain yang kurang tepat akan merugikan Malaysia kerana dengan status ‘import’, tonggak naturalisasi sepatutnya lebih bagus daripada pemain tempatan.
“Kalau kita bercakap tentang naturalisasi, kita kena lihat semasa Singapura mula-mula mengambil pemain naturalisasi, sekitar tahun 2000, semasa itu saya juga masih bermain dengan skuad kebangsaan.

“Sejak itu mereka selalu menang lawan dengan Malaysia. Tak silap saya, kita di Malaysia pun banyak mempertikaikan isu itu sebab mereka bukan pemain tempatan.
“Namun akhirnya sekarang, Malaysia juga buat langkah yang sama. Persoalan yang patut difikirkan adalah, kenapa dahulu Singapura buat begitu?
“Saya lihat perubahan ketaranya adalah kedudukan Singapura meningkat dalam bola sepak dunia. Mereka berjaya lakukan itu apabila ada pemain naturalisasi. Jadi kalau kita mahu buat seperti mereka, bagi saya kita pun perlu ada sebab kukuh,” katanya.