KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menegaskan, seorang individu yang dikenali sebagai ‘Calon YB’ (Yang Berhormat) dari Pengkalan Chepa berminat membeli saham kelab tersebut bukan kerana mahu memancing undi.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, individu itu adalah penyokong tegar The Red Warriors (TRW), dan secara kebetulan ketika proses rundingan penjualan saham berjalan ia menghampiri tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Norizam berkata, individu berkenaan begitu berminat untuk menjadi sebahagian pemegang saham TRW.
“Pemilikan saham boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Buat masa ini saya sedang ‘final’ jumlah saham yang akan ditawarkan sama ada besar atau minoriti.

“Selain itu, kita turut meneliti nilai dan jumlah yang akan dibeli oleh bakal YB berkenaan.
“Sebelum ini saya sudah jual pemilikan saham Kelantan FC kepada Syarikat SkyGear sebanyak lima peratus,” kata Norizam kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, pengasas syarikat pakaian kasual lelaki dan wanita dalam talian, Skygear, Nik Hafiz Naim Nik Hassan menjadi pemegang lima peratus saham The Red Warriors FC Berhad, syarikat yang memiliki pasukan Kelantan FC.
Nik Hafiz yang juga anak jati Kelantan dan peminat tegar pasukan berkenaan memperolehi pegangan saham itu selepas membayar RM3 juta kepada Zamburger.
Pada masa yang sama, difahamkan, Skygear akan menjadi salah satu penaja terbesar pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.