MANCHESTER: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyamakan keputusan seri 2-2 dengan Manchester City semalam seperti ‘pertarungan tinju’ dengan dua pasukan yang bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris itu saling berbalas ‘tumbukan’.
Kevin De Bruyne meletakkan juara bertahan itu di depan seawal minit kelima di Stadium Etihad tetapi Diogo Jota menyamakan kedudukan 1-1 buat Liverpool , lapan minit berselang.
Gabriel Jesus kembali meletakkan skuad The Citizens di depan pada minit ke-36, namun Sadio Mane menyambut hari lahirnya yang ke-30 dengan gol penyamaan buat Reds.
Keputusan itu menamatkan 10 kemenangan liga berturut-turut yang dipegang Liverpool sebelum ini, dan mengekalkan City di tangga teratas dengan kelebihan satu mata ketika saingan berbaki tujuh perlawanan.
“Ia seperti pertarungan tinju. Bila anda turunkan tangan sekejap, lawan datang menumbuk dengan kuat dan menyebabkan anda bergegar.
“Banyak perkara yang saya sukakan dalam perlawanan ini, berbanding aksi sebelum ini. Permulaan kami pada babak kedua lebih baik.
“City benar-benar mencuba, sentiasa di belakang bola dan melakukan gerakan-gerakan hebat. Ketika pemain kami baru hendak menarik nafas, bola datang lagi, ia perlawanan yang sangat sengit.
“Kami boleh melakukan lebih baik, namun pemain kami memberikan aksi terbaik. Perlawanan ini amat menyeronokkan, saya menyukainya,” kata Klopp.
Kata jurulatih kelahiran Jerman itu, seri adalah keputusan yang adil dan tujuh lagi baki perlawanan amat mencabar buat Reds dan City.
“Sudah tentu kami tidak akan berhenti mengejar, namun sebelum memikirkan tentang tujuh perlawanan berikutnya, kami perlu alihkan fokus dulu kepada Benfica (suku akhir kedua Liga Juara-Juara, Khamis ini).
“Kami juga perlu mempersiapkan pasukan untuk menentang City sekali lagi dalam separuh akhir Piala FA di Wembley,” kata Klopp. – AGENSI.