Sirih pulang ke gagang? - Utusan Malaysia

Sirih pulang ke gagang?

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan Kelantan atau Lembah Klang?

Itu persoalan utama yang bermain di fikiran peminat bola sepak sejurus Tan Sri Annuar Musa mengesahkan hasrat mahu membeli pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Digelar ‘bapa pembangunan bola sepak Kelantan’ atas pelbagai kejayaan yang diraih sepanjang lapan tahun menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar bagaimanapun tidak menyatakan pasukan mana mahu dibeli.

“Saya ada bincang dengan kawan dua, tiga orang. Ingat nak beli juga (pasukan Liga M) tetapi belum pasti pasukannya,” kata Annuar ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.

Kelantan yang sememang­nya mencari ‘tuan’ baharu kini memasuki fasa rundingan pen­ting dengan pakar pelaburan ter­kenal dari selatan tanah air, Norizam Tukiman.

Selepas mengadakan rundi­ngan pertama 9 Ogos lalu, Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham sudah mengemukakan surat rasmi untuk membeli The Red Warriors (TRW).

Jika Annuar, 61, Presiden Kafa dari 2008 hingga 2016 berminat membeli pasukan ‘ke­sayangannya’, langkah segera harus diambil sebelum TRW terlepas ke tangan orang lain.

Sepanjang memimpin Kelantan, Annuar telah mengecapi pelbagai trofi seperti Piala Malaysia, liga utama dan Piala FA.

Begitupun membeli pasukan Lembah Klang juga bukan mustahil memandangkan beliau kini banyak menghabiskan masa di ibu negara selaku Menteri Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur pula sedang mencari ‘tuan’.

Sementara itu, mengulas hasrat Datuk Dr. Hasmiza Othman untuk membeli pa­sukan Liga M, Annuar me­ngalu-alukan perkara itu tetapi mengingatkan jutawan kosmetik tersebut agar tidak hanya me­nunggang populariti pasukan bola.

Beliau juga mengi­ngatkan mana-mana pihak yang mahu memiliki pa­sukan agar tahu kriteria sebenar dalam me­ngurus kelab bola sepak.

“Baguslah kalau dia (Dr. Vida) minat. Namun bila kita bercakap pasal bola jangan terdorong dengan nak menunggangi populariti bola.

“Macam awak tunggang kuda lepas itu kuda itu mati, jangan memikir soal nak menungga­ngi tetapi fikir soal nak menggemukkan kuda itu supaya boleh berlari kuat,” katanya.

Annuar dan Dr. Vida pernah duduk ‘sekapal’ pada 2016 ketika jutawan itu menjadi penaja utama Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×