Aiman sedia cabar jersi Raja Bukit

Aiman sedia cabar jersi Raja Bukit

Nur Aiman Zhariff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zhariff tidak mahu melepaskan peluang memburu jersi Raja Bukit (KOM) apabila menyasarkan kutipan mata sebanyak mungkin pada baki perlumbaan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26).

Aiman, 29, sudah menunjukkan kesungguhan dalam perebutan jersi tersebut apabila mengutip 10 mata pada pendakian Kategori 2 dekat Gerik pada saingan Peringkat 3 dari Sungai Petani menuju Kuala Kangsar dengan jarak keseluruhan 189.7 kilometer (km).

Menurutnya, kutipan mata itu penting bagi memastikan dia terus berada dalam persaingan, biarpun menyedari tugas untuk merebut jersi KOM bukan mudah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang dari awal saya sudah merancang untuk memburu mata KOM hari ini kerana ada pendakian Kategori 2. Semalam (kelmarin) pun saya sudah ambil mata Kategori 4.

“Memang agak sukar untuk mengejar jersi KOM tetapi kita masih ada beberapa peringkat yang menawarkan mata tinggi, termasuk pendakian Kategori Hors (HC),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ini, Aiman berada di kedudukan kedua dalam perebutan gelaran Raja Bukit kurang satu mata di belakang pendahulu, Lennart Jasch dari Tudor Pro Cycling Team.

Semalam, dia berjaya mengutip empat mata di zon pendakian dekat Selama dalam perlumbaan Peringkat 2 dari Taiping ke Gunung Jerai dengan jarak keseluruhan 145.6 km.

Sebagai rekod, Aiman menyarung jersi Raja Bukit buat kali pertama pada edisi 2020 sebelum mengulanginya dua tahun kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×