PETALING JAYA: Pasangan No. 9 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani meneruskan hari cemerlang wakil Malaysia, apabila menjulang gelaran beregu lelaki pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Bekas gandingan No. 1 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas gandingan muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-19, 21-13 dalam masa 37 minit.
Kemenangan itu membolehkan Sze Fei-Izzuddin menyamakan rekod pertemuan dengan Raymond-Joaquin kepada 1-1.
Sze Fei-Izzuddin pernah tewas pada pertemuan pertama dengan gandingan ke-23 dunia itu pada Terbuka Australia, tahun lalu.
Justeru, kemenangan mereka ke atas Raymond-Joaquin di hadapan penyokong beregu Indonesia itu di Istora Senayan sebagai satu pembalasan dendam yang amat bermakna buat wakil negara tersebut.
Selaku juara, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$39,500 (RM157,215), pingat emas dan trofi kejohanan.
Sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir, Izzuddin berkata, dia bersyukur kepada Allah di atas kemenangan yang sangat bermakna buat mereka.
“Kami telah agak lama bergelut dengan prestasi dan kejayaan ini diharap dapat menaikkan keyakinan kami,” katanya.
Kata Izzuddin, dia amat berharap prestasi baik tersebut dapat dikekalkan dan terus berada dalam kelompok teratas beregu handalan dunia.
Sze Fei pula berkata, Istora Senayan bukanlah gelanggang yang mudah buat pemain Malaysia dan berdepan wakil tuan rumah memberi tekanan kepada dia serta Izzuddin.
“Saya rasa tertekan bermain di sini, menentang seluruh Istora Senayan, ia satu pengalaman yang menakjubkan dan terima kasih di atas sokongan anda,” katanya. – UTUSAN










