City tercicir mata lagi

City tercicir mata lagi

ERLING Haaland mengawal bola ketika Manchester City menentang Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester City terus kehilangan momentum dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila sekadar seri 1-1 dengan Fulham di Etihad Stadium, sebentar tadi.

Perlawanan berkenaan turut mencetuskan kontroversi apabila gol Erling Haaland dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR).

City yang kini berada di tangga ketiga liga gagal mengelakkan kemerosotan prestasi selepas tidak memenangi empat perlawanan terakhir, sekali gus memberi peluang kepada Arsenal untuk melebarkan jurang mata jika menang menentang Newcastle.

Memuatkan artikel berkaitan…

Fulham terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Rodrigo Muniz pada minit ke-16 selepas Oscar Bobb memintas hantaran City sebelum melancarkan serangan pantas dari sebelah kanan yang disudahkan dengan rembatan melengkung ke penjuru atas gawang.

City kemudian menyangka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26 apabila Haaland menolak bola melepasi garisan gol selepas pertembungan dengan penjaga gol Fulham, Bernd Leno, namun jaringan itu dibatalkan VAR atas alasan kekasaran terhadap penjaga gol berkenaan.

Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain City kerana Leno dilihat belum benar-benar menguasai bola ketika Haaland melakukan sentuhan, selain penyerang Norway itu turut gagal memanfaatkan beberapa peluang lain sepanjang babak pertama.

Selepas gagal menemukan rentak pada separuh masa pertama, City akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-58 apabila Elliot Anderson menyambar bola yang gagal dikeluarkan pertahanan Fulham sebelum melepaskan voli kencang dari luar kotak penalti.

Anderson hampir memberikan City kelebihan tidak lama kemudian menerusi rembatan rendah yang tersasar tipis, namun pasukan tuan rumah gagal menghasilkan jaringan kemenangan sehingga tamat perlawanan dan menerima sorakan boo daripada penyokong.

Kegagalan itu turut menambah tekanan kepada City yang masih menunggu keputusan rayuan berkaitan dakwaan pelanggaran peraturan kewangan EPL, dengan ujian lebih sukar menanti mereka apabila berdepan Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara, Selasa ini, sebelum menentang Arsenal minggu depan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini