PETALING JAYA: Skuad bola tampar pantai negara meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir dalam saingan Sukan Olimpik Remaja di Dakar, Senegal.
Jurulatih bola tampar wanita negara, Ace Chia berkata, sasaran ke peringkat suku akhir diletakkan berasaskan kedudukan ranking pasukan yang membolehkan mereka melangkah lebih jauh.
“Sasaran kita sekarang ini adalah ke suku akhir kerana mereka diletakkan sebagai pilihan ketujuh dan peluang untuk melangkah ke peringkat tersebut adalah sangat cerah.
“Sistem pertandingan yang diketengahkan juga agak adil, yang bermaksud dua pasukan terbaik dalam kumpulan akan terus bertanding ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam saingan yang bermula 31 Oktober hingga 13 November itu, skuad negara diundi dalam Kumpulan F bersama tuan rumah, Senegal, Republik Dominican, dan Cape Verde.
Pada temasya berkenaan, Malaysia akan diwakili oleh gandingan Cadence Goh-Ong Jing Yi dan penyertaan itu juga merupakan sebahagian persiapan menghadapai Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu kata Ace, persiapan intensif skuad negara turut dibimbing oleh bekas jurulatih Olimpik Australia, Lauren Soderberg yang baru sahaja selesai mengendalikan latihan fasa kedua di Malaysia.
“Minggu lepas, Lauren berada di Malaysia untuk melatih mereka bagi fasa kedua, dan setakat ini mereka berada dalam fasa terakhir untuk persediaan sebelum ke Senegal,” katanya.
Sebagai kemuncak latihan terakhir di bawah pemantauan teknikal, kedua-dua atlet telah terbang ke Australia, semalam untuk menyertai saingan pra-permainan di Queensland.
“Kita mendaftarkan mereka untuk pra-permainan di Sukan Remaja Queensland. Kita dapat menjangkakan prestasi sebenar mereka di Sukan Olimpik Remaja nanti apabila berpeluang bertanding di sana,” katanya.-UTUSAN










