JAKARTA: Pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi kembali menemui sentuhan kemenangan apabila menguasai Grand Prix (GP) Indonesia untuk mengetuai kejayaan 1-2-3 pasukan itu, manakala Jorge Martin merampas semula kedudukan pendahulu kejuaraan dunia MotoGP.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Bezzecchi yang melalui musim sukar selepas kali terakhir menaiki podium tertinggi pada GP Itali di Mugello, penghujung Mei lalu.
Pelumba Itali itu, bangkit daripada kekecewaan apabila terjatuh pada pusingan pertama perlumbaan pecut selepas bertembung dengan Raul Fernandez, sebelum mempamerkan tunggangan cemerlang untuk meraih kemenangan kelima musim ini.
Fernandez yang memulakan perlumbaan dari petak utama tetap menunjukkan aksi bertenaga meskipun terpaksa menahan kesakitan akibat patah jari tangan kanan, apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Martin pula melengkapkan podium di tempat ketiga menerusi sebuah lagi jentera Aprilia pasukan utama, sekali gus kembali menduduki tangga teratas kejuaraan dunia dengan kelebihan tipis dua mata.

Pelumba Sepanyol itu mendapat manfaat daripada keputusan Marc Marquez yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Kejayaan di Litar Antarabangsa Mandalika itu turut menghidupkan kembali peluang Bezzecchi untuk mencabar gelaran dunia apabila dia merapatkan jurang kepada 46 mata, dengan baki lima pusingan perlumbaan musim ini.
Kemenangan itu turut melakar kejayaan ke-300 buat Itali dalam perlumbaan kelas perdana MotoGP.
Fernandez terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala Martin melengkapkan podium untuk memastikan Aprilia menyapu bersih tiga kedudukan teratas.
Lebih manis buat Aprilia, Ai Ogura turut mencuri tumpuan apabila memintas pelumba KTM, Pedro Acosta pada penghujung perlumbaan untuk menamatkan saingan di tempat keempat.
Keputusan itu menyaksikan Aprilia melakar sejarah dengan menduduki empat tempat teratas buat kali pertama dalam perlumbaan MotoGP.
Sementara itu, pelumba Pramac, Toprak Razgatlioglu terpaksa menarik diri lebih awal akibat kesakitan susulan kecederaan bahu terkehel.
Nasib malang turut menimpa Pecco Bagnaia (Ducati), Jack Miller (Pramac) dan Fermin Aldeguer (Gresini) yang gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh.-AGENSI











