IPOH: Peruntukan RM260 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Belanjawan 2027 bakal memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi bencana, khususnya melalui peningkatan peralatan dan kelengkapan operasi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu turut membolehkan Nadma membantu agensi barisan hadapan lain dalam memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kita tahu agensi yang membantu Nadma seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), mereka tidak mempunyai peralatan mencukupi.
“Jadi, apa yang kita lakukan ialah membantu mereka untuk membeli peralatan seperti bot, peralatan pam air atau mesin penapis air ketika tiada bekalan air.
“Langkah-langkah proaktif inilah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika bercakap dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim.
Menurut beliau, bilangan pusat pemindahan kekal akan ditambah tahun depan mengikut keperluan bagi menampung mangsa bencana khususnya di kawasan yang kerap dilanda banjir.
Katanya, ketika ini, dua pusat pemindahan kekal disediakan bagi setiap negeri, namun penambahan akan dilaksanakan susulan peningkatan peruntukan yang diterima.
“Insya-Allah tahun depan dengan penambahan peruntukan yang diterima ini, kita akan tambah pusat pemindahan kekal mengikut keperluan.
“Sasarannya banyak tetapi tiada kemampuan kewangan. Jadi kita berikan keutamaan di kawasan titik hitam yang kerap dilanda banjir dan merekodkan jumlah mangsa yang tinggi,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat Jumaat lalu, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM260 juta kepada Nadma bagi memantapkan ketersediaan dan pengurusan bencana di seluruh negara.
Sebagai langkah keprihatinan, kerajaan turut bersetuju meningkatkan kadar Bantuan Pembaikan Rumah bagi mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000. – UTUSAN











